ad

Persiapan SUKMA Selangor 2026 capai 60 peratus, logistik dan sukarelawan diperkemas

22 Sep 2025, 11:00 AM
Persiapan SUKMA Selangor 2026 capai 60 peratus, logistik dan sukarelawan diperkemas

SHAH ALAM, 22 SEPT: Persiapan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 kini mencapai 60 peratus, merangkumi kerja naik taraf fasiliti mengikut jadual kontrak dan penyelarasan logistik bagi lebih 400 acara membabitkan 37 jenis sukan.

EXCO Sukan, Mohd Najwan Halimi berkata aspek logistik berada pada landasan betul manakala kerja tambah baik fasiliti turut digerakkan seiring libat urus bersama persatuan sukan, pegawai teknikal serta Majlis Sukan Negara.

“Dari segi logistik, insya-Allah tiada isu besar atau pertindihan yang boleh menjejaskan persiapan. Kemudahan sukan juga sedang dinaik taraf mengikut jadual.

"Kalau di Sarawak lebih 400 acara pun tiada isu, jadi kita ambil iktibar itu untuk pastikan Selangor berada di landasan sama,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, konsep penganjuran, tema serta penyelarasan sukarelawan kini dalam proses dimuktamadkan. Pendaftaran sukarelawan dibuka awal minggu ini bagi membolehkan latihan intensif sepanjang tahun depan, meliputi protokol, penyambutan tetamu dan tugasan mengikut jenis sukan.

Najwan menegaskan aspek hospitaliti diberi perhatian khusus kerana sering menjadi punca isu kecil yang mampu memberi kesan besar jika terlepas pandang.

“Latihan sukarelawan menekankan kecekapan mengendalikan atlet di lapangan termasuk semakan jadual acara, pergerakan ke venue serta keperluan asas. Perincian kritikal seperti penginapan atlet, pengangkutan dan pengurusan makanan turut diperhalusi secara menyeluruh oleh sekretariat.

“Pendekatan ini bertujuan menutup lompong operasi dan memastikan pengalaman terbaik kepada kontinjen serta penonton,” tambahnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.