ad

Lebih RM71 juta tanam, selenggara pokok bakau seluruh negara

21 Sep 2025, 2:39 PM
Lebih RM71 juta tanam, selenggara pokok bakau seluruh negara

TUMPAT, 21 SEPT: Kerajaan memperuntukkan lebih RM71 juta untuk aktiviti penanaman dan penyelenggaraan tanaman pokok bakau dan spesies bersesuai di pesisiran pantai seluruh negara dari 2006 sehingga kini.

Menteri Perladangan dan Komoditi yang menjalankan tugas serta fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata peruntukan itu termasuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan, pemantauan dan program pengembangan serta kesedaran awam.

“Sehingga September tahun ini seluas 3,820 hektar kawasan hutan paya laut dan pesisiran pantai telah berjaya ditanam dengan lebih sembilan juta pokok bakau serta spesies yang sesuai.

“Kejayaan ini diperhebat dengan hasil lebih 120 kajian penyelidikan yang menjadi rujukan utama serta penglibatan aktif 13 pertubuhan bukan kerajaan bersama-sama komuniti setempat,” katanya.

Teks ucapan Johari pada Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan dan Karnival Kebangsaan Perhutanan Sosial Tahun 2025 di sini hari ini, dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Dr Ching Thoo Kim.

Johari berkata pencapaian itu bukan sahaja memperkukuh usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hutan paya laut dan pesisiran pantai, tetapi turut membuka ruang penjanaan ekonomi komuniti setempat.

Beliau berkata pelaksanaan program pemuliharaan hutan paya laut dan pesisiran pantai telah membuahkan kejayaan yang signifikan di seluruh negara.

Antaranya kejayaan penanaman pokok di Delta Kelantan, Pantai Senok yang kini merupakan destinasi ekopelancongan selain industri arang kayu di Larut Matang, Perak yang menjadi penyumbang ekonomi negara.

“Selain itu, pusat pembelajaran dan penyelidikan di Kuala Selangor serta peluang ekonomi baharu di Pulau Ketam, Perlis serta tiga kawasan di Sarawak telah digazetkan sebagai kawasan perlindungan sepenuhnya dengan impak ekonomi melebihi RM3 juta setahun.

“Manakala di Sabah, kawasan dan penanaman sejak 2006 telah menjadi kawasan sumber rezeki makanan laut masyarakat setempat,” katanya.

Johari berkata usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hutan paya laut serta pesisiran pantai akan terus dilaksanakan secara lebih lestari.

Terdahulu, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan merasmikan program itu dan melancarkan Buku Mewah Mangroves: Beyond The Treasures.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.