SHAH ALAM, 4 FEB: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan hampir RM250 juta bagi kerja penyelenggaraan jalan persekutuan di Selangor sepanjang tahun lalu, sebagai usaha memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan keadaan infrastruktur yang baik.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) bertanggungjawab menyelenggara keseluruhan 18,705.93 kilometer jalan persekutuan di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 14,973.93 kilometer terletak di Semenanjung Malaysia, diikuti 1,536.95 kilometer di Sabah, 2,055.92 kilometer di Sarawak dan 139.13 kilometer di Labuan.
Menurut beliau, sebanyak RM2.48 bilion diperuntukkan pada tahun 2024 bagi penyelenggaraan rutin dan berkala jalan raya, termasuk jambatan serta lampu jalan.
Peruntukan itu meningkat kepada RM2.96 bilion bagi tahun 2025, dengan Selangor menerima RM247.15 juta.
“Kerja penyelenggaraan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu penyelenggaraan rutin, penyelenggaraan berkala dan pembaikan kecemasan seperti ketika banjir atau kejadian luar jangka.
“Kerja menampal jalan akan dilakukan segera bergantung kepada tahap kerosakan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas isu jalan berlubang di laluan persekutuan, beliau berkata kerja pembaikan akan dilaksanakan mengikut piawaian ditetapkan, dengan sasaran tampalan dibuat dalam tempoh 24 jam.


