SHAH ALAM, 22 SEPT: Selangor disaran menubuhkan sebuah ‘daerah seni’ khusus bagi menghimpunkan kegiatan seni, budaya dan kreativiti tempatan sekali gus menjadi pemacu industri kreatif serta tarikan pelancongan negeri.
Kartunis politik terkenal, Zunar berkata negeri ini mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai peneraju ekonomi kreatif sekiranya menumpukan aktiviti seni di kawasan tertentu yang boleh dijadikan mercu tanda.

“Kerajaan Negeri perlu kenal pasti di mana ‘daerah seni’ Selangor. Bila seni tertumpu di satu kawasan, ia akan lebih berkembang. Pada masa sama, ia perlu diberi sedikit kebebasan daripada syarat ketat supaya seniman dapat berkarya dengan lebih autentik.
“Matlamat utama seni ini adalah pelancongan. Seni mesti dibawa keluar, ditonjolkan kepada dunia, bukan sekadar untuk tontonan dalam negeri,” katanya kepada Media Selangor.
Menurut pemilik nama sebenar Zulkiflee SM Anwarul Haque, Petaling Jaya dan Shah Alam dilihat berpotensi dijadikan pusat kesenian kerana mempunyai infrastruktur dan kedudukan strategik untuk menarik pelancong.
Seni dan pelancongan saling bergantung
Zunar menegaskan pembangunan sektor ekonomi kreatif harus bergerak seiring dengan industri pelancongan memandangkan kedua-duanya saling melengkapi.
“Di Sarawak, ada Festival Kebudayaan Borneo yang bertaraf antarabangsa. Di Berlin pula, mural di tembok lama menjadi tarikan utama pelancong. Begitu juga Pulau Pinang, mereka jadikan seni jalanan sebagai produk pelancongan.
“Inilah yang boleh dicontohi Selangor kerana industri seni di seluruh dunia dimajukan oleh pelancong,” jelasnya.

Perlu bajet khusus, bukan tempelan
Pada masa sama, beliau menggesa Kerajaan Negeri memperuntukkan dana khas untuk pembangunan seni supaya penggiat tidak lagi bergantung pada sisa bajet berbaki.
“Kalau kerajaan serius, pihak swasta juga akan beri sokongan. Seni perlu datang sebagai projek khusus dengan bajet tersendiri, bukan tempelan,” katanya.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen menegaskan perlunya dasar ekonomi kreatif yang jelas, menyeluruh dan teratur bagi mengangkat industri ini ke tahap global.

Sebagai langkah awal, Selangor bakal menganjurkan Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor pada 23 dan 24 September ini di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam.
Ekspo itu menampilkan pelbagai segmen industri kreatif, daripada studio animasi bertaraf antarabangsa hingga bakat kulinari tempatan, serta menjadi platform mengenal pasti keperluan seperti latihan, geran dan insentif.
