SHAH ALAM, 6 OGOS: Ekonomi jingga atau industri kreatif perlu diberi penekanan jelas dan proaktif dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memandangkan ia mampu menawar peluang pekerjaan sekali gus merancakkan ekonomi.
Dato’ Menteri Besar bekata sektor berkenaan perlu mempunyai dasar yang jelas serta pelan rancangan yang tersusun dan spesifik bagi memastikan industri itu membangun seterusnya menjadikan Malaysia memiliki jenama sendiri.
Mengambil contoh perkembangan ekonomi jingga di Korea Selatan, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata republik itu berkeupayaan mencipta gelombang K-Pop berikutan penekanan mereka terhadap industri terbabit.
“Jepun pada tahun 80-an dan 90-an juga telah melakukan beberapa anjakan besar yang turut mencipta nilai terhadap aktiviti kesenian dan kebudayaan mereka. Binaan dibuat mereka bukan lahir sendiri.
“Saya contohkan Korea Selatan kerana ekonomi kreatif ini memberikan ruang dan peluang besar terutama kepada generasi muda. Sebab itu saya percaya kita tidak boleh tumpu kepada sektor sahaja sebaliknya bina ekosistem. Supaya supaya 30 tahun akan datang Malaysian Pop atau Malay Pop kan menjadi siulan di seluruh dunia,” katanya.

Berucap ketika sesi perbahasan RMK13 di Parlimen hari ini, ahli parlimen Gombak itu berkata pelan (blueprint) dasar ekonomi kreatif perlu dibangunkan lagi berikutan sejak dahulu industri itu hanya sinonim dengan sektor pelancongan dan kementerian tertentu sahaja.
Sedangkan beliau berkata, nilai ekonomi jingga ini begitu besar capaiannya, malah Malaysia mempunyai contoh produk berkualiti antaranya animasi Upin Ipin terbitan syarikat Les Copaque hingga berupaya menjelajah ke Hollywood selain animasi lain antaranya Ejen Ali, Mechamato.
“Malahan tahun sebelum ini kita cukup berbangga dengan sub sektor tertentu pengiklanan yang bergerak laju satu ketika dahulu. Petronas hasilkan iklan sangat menyentuh hati dan perasaan,” katanya.
Beliau percaya produk yang bernilai dan berkualiti sedemikian, jika tidak mendapat sokongan kerajaan akan hilang atau tenggelam pada masa akan datang malah hasil karya itu berpotensi dicuri.