SHAH ALAM, 22 JULAI: Kartunis terkenal, Zunar menghasilkan karya istimewa berjudul 'Melukis Dengan Hati: Biografi Perjalanan Seni 50 Tahun Karya Zunar'.
Buku setebal 230 muka surat yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu merakamkan perjalanan seni Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwarul Haque sejak 1973.
Naskhah itu mendokumentasikan pelbagai fasa penting dalam karier seni Zunar berusia 63 tahun bermula kartun pertama beliau sehingga era perjuangan bagi kes 1MDB dan reformasi.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata selain memberi inspirasi kepada ramai orang terutama pendukung reformasi, buku itu adalah catatan seorang kartunis yang tidak pernah gentar menyuarakan kebenaran melalui lukisan, meskipun berdepan tekanan, pendakwaan dan penahanan.
"Saya yakin buku ini akan menjadi bahan rujukan penting untuk generasi kini dan akan datang tentang seni, keberanian dan tanggungjawab sosial dalam memperjuangkan keadilan.
"Sebagai usaha menghargai sumbangan seni dan perjuangan Zunar, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) akan melengkapkan koleksi buku-buku Zunar di semua perpustakaan awam di seluruh Selangor, agar dapat diakses dan dimanfaatkan oleh rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat," katanya di Facebook.
Terdahulu, Anwar ketika berucap dalam majlis tersebut menyarankan undang-undang diwujudkan bagi melindungi hak cipta dan ketulenan karya tempatan susulan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Jelas Anwar, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital perlu mengambil langkah segera demi memastikan karya seni tempatan dilindungi dan tidak terdedah kepada ancaman akibat ledakan teknologi AI, termasuk plagiat.
Turut hadir pada majlis tersebut, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.