Daripada suasana sunyi bilik makmal kepada dunia lantang lakaran politik, perjalanan hidup kartunis satira terkenal, Zunar bukan kisah yang biasa.
Bermula sebagai juruteknik makmal di Pusat Perubatan Universiti Malaya, membawanya ke gelanggang perjuangan yang penuh risiko.
Menjalankan analisis sampel dan menyediakan laporan penting untuk doktor sebelum pembedahan di siang hari, dia kemudian menumpu kepada minat yang berakar sejak kecil pada waktu malam.
Kolum tetap dalam Majalah Gila-Gila mengukuhkan langkahnya, namun semakin kreativiti itu berkembang, semakin terganggu ketelitiannya dalam tugas rasmi.
“Saya mula buat kesilapan mudah, contoh tersalah nombor. Impaknya besar sebab melibatkan nyawa orang.
“Saya fikir panjang, saya tahu saya suka melukis tapi ini pekerjaan tetap. Namun saya sedar saya tak boleh teruskan dua-dua dalam satu masa,” katanya dalam Program Siapa Tahu? terbitan Media Selangor.
Akhirnya, lelaki berusia 63 tahun itu melepaskan kerjayanya dan memilih dunia kartun politik sepenuh masa - keputusan yang membuka pintu kepada perjalanan penuh berduri.

Isu rasuah melalui kartun
Kini, pemilik nama Zulkiflee Anwar Haque terus melekat sebagai simbol suara rakyat yang tidak pernah diam. Namun baginya, perjalanan seni bukan sekadar kisah bakat, tetapi falsafah yang berbeza.
“Saya percaya bakat bukan anugerah, tapi tanggungjawab. Bukan untuk kepentingan diri, tetapi untuk orang ramai,” katanya menegaskan isu berat dapat disampaikan dengan lebih mudah dan cepat difahami melalui kartun.
Itulah yang mendorong Zunar memilih kartun sebagai senjata perjuangan terutama dalam isu seperti rasuah, masalah yang menurutnya boleh menghancurkan negara.
“Saya ada bakat dan saya tahu isu rasuah itu tidak bagus. Jadi saya gabungkan dua perkara ini untuk sampaikan kepada rakyat,” ujarnya.
Harga yang perlu dibayar untuk perjuangan itu sangat mahal. Zunar pernah digari, dilokap tujuh kali selain berdepan sembilan dakwaan mahkamah akibat karya satiranya.
Daripada 20 buku terbitannya, 12 diharamkan dan dia turut disenarai hitam dalam larangan perjalanan ke luar negara.
Namun cabaran paling besar bukan kes penangkapan, tetapi amanah menghasilkan setiap karya dengan tepat dan teliti.
“Satu kartun memerlukan 12 sampai 13 jam ulang kaji. Saya harus faham sesuatu isu secara mendalam sebelum melukis.
"Kesilapan fakta atau tafsiran adalah kegagalan paling besar dalam karya satira, kartun mesti membawa kebenaran yang dapat dipertahankan, bukan sekadar lontaran kosong," jelasnya.

Teknologi buat masyarakat ‘sakit’
Dalam dunia yang bergerak pantas dengan media sosial, Zunar melihat kecenderungan yang merisaukan.
“Kebanyakan komen sekarang lahir tanpa ilmu dan akhlak, itu tanda sebuah masyarakat yang sakit,” katanya.
Penggunaan kecerdasan buatan (AI) sebagai jalan pintas menghasilkan satira juga mengundang kebimbangan.
“Saya tak menolak teknologi, AI itu alat bantu. Tapi jangan jadikan ia tempat bergantung kerana jalan pintas, nilai seni itu seperti tidak ada roh,” ujarnya.
Baginya, karya yang baik mesti lahir daripada suara hati sendiri, bukan marah yang dipinjam atau trend yang diulang.
“Kamu lukis apa yang kamu tahu, apa yang ada dalam hati kamu. Jangan ikut keresahan orang lain."


