ad

BINGKAS bakal ditambah baik, bantu keluarga terjejas pendapatan

20 Sep 2025, 3:01 AM
BINGKAS bakal ditambah baik, bantu keluarga terjejas pendapatan
BINGKAS bakal ditambah baik, bantu keluarga terjejas pendapatan
BINGKAS bakal ditambah baik, bantu keluarga terjejas pendapatan

SHAH ALAM, 20 SEPT: Inisiatif Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) akan ditambah baik tahun depan dengan menyasarkan keluarga terjejas pendapatan.

EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata pihaknya akan memperhalusi formula BINGKAS supaya golongan terbabit dibantu sekali gus keluar daripada kemiskinan.

“Pelaksanaan inisiatif ini dikongsi dengan EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari yang mana bagi membantu meningkatkan tahap sosioekonomi.

“Namun, kali ini formulanya ditambah baik dengan menyasarkan keluarga memerlukan bantuan, sama ada syarat dilonggar atau ditukar supaya dapat bantu mereka terjejas serta keluar daripada kemiskinan.

“Bukan itu sahaja, beberapa program lebih memfokuskan golongan rentan antaranya warga emas, orang kurang upaya dan belia terjejas akan dilaksana supaya isu kesukaran kelangsungan hidup diselesaikan,” katanya kepada Media Selangor.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari (tiga, kiri) mengadakan sidang media mengenai program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 5 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

BINGKAS merupakan sebahagian daripada 46 insentif Iltizam Selangor Penyayang yang dilancarkan pada 2022, menggantikan skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal).

Bermula tahun lalu, syarat permohonan baharu BINGKAS dilonggarkan kepada isi rumah bawah RM5,000 berbanding RM3,000 sebelum ini bagi membolehkan lebih ramai menerima manfaatnya.

Mengulas lanjut, Papparaidu yang juga EXCO sumber manusia memaklumkan Selangor menyasarkan kadar pengangguran terus menurun menjelang 2026 dengan beberapa pelbagai inisiatif termasuk karnival kerjaya.

“Dijangka kadar pengangguran tahun hadapan catat penurunan dua peratus berbanding ketika Covid-19 sebanyak empat peratus. Ini seiring dengan perancangan dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2).

“Namun, saya rasa jika kita tangani masalah pengangguran dengan baik kadarnya boleh menurun sehingga 1.8 peratus,” ujarnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.