ad

Kerja baik pulih, bina semula rumah terjejas letupan paip gas Putra Heights giat dilaksana

19 Sep 2025, 12:32 PM
Kerja baik pulih, bina semula rumah terjejas letupan paip gas Putra Heights giat dilaksana
Kerja baik pulih, bina semula rumah terjejas letupan paip gas Putra Heights giat dilaksana
Kerja baik pulih, bina semula rumah terjejas letupan paip gas Putra Heights giat dilaksana
Kerja baik pulih, bina semula rumah terjejas letupan paip gas Putra Heights giat dilaksana

SUBANG JAYA, 19 SEPT: Kerja baik pulih dan pembinaan semula kediaman di Taman Putra Harmoni serta Kampung Kuala Sungai Baru yang terjejas akibat letupan paip gas di Putra Heights sedang giat dilaksanakan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak 79 unit rumah di Taman Putra Harmoni perlu dibangunkan semula dengan 49 pemilik bersetuju, manakala 30 lagi menolak atas sebab tertentu.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas meninjau rumah mangsa trajedi letupan saluran paip gas yang siap dibina di Kampung Kuala Sungai Baru, Subang Jaya pada 19 September 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Itu hak mereka, namun Kerajaan Negeri tetap menawarkan bantuan atas dasar ihsan Kerajaan Perpaduan.

”Beberapa isu dibangkitkan akan dibincangkan dalam mesyuarat pelarasan segera,” katanya selepas meninjau projek pembinaan semula di Kampung Kuala Sungai Baru, hari ini.

Dalam masa sama, Amirudin berkata terdapat 120 unit yang mengalami kerosakan sederhana sedang dibaik pulih dengan kos antara RM30,000 hingga RM60,000.

“Setakat ini, 86 pemilik rumah sudah membuat tuntutan berjumlah RM3.9 juta, dengan 61 unit diselesaikan bernilai RM2.6 juta.

“Baki selebihnya akan diselesaikan selewat-lewatnya hujung Oktober ini,” katanya.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari meninjau kerja status bina semula dan baik pulih rumah mangsa trajedi letupan saluran paip gas di Taman Putra Harmoni, Subang Jaya pada 19 September 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Bagi Kampung Kuala Sungai Baru pula, Amirudin berkata Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dipertanggungjawab membina semula 11 unit rumah, dengan tiga daripadanya siap sepenuhnya dan selebihnya dijangka siap hujung Oktober.

Selain itu, sebanyak 94 unit rumah di kampung berkenaan dibaik pulih dengan kos sekitar RM30,000.

Sehingga kini, 63 tuntutan bernilai RM1.7 juta telah diterima dan 50 daripadanya sudah dilunaskan.

Menurut Amirudin, tuntutan yang melebihi siling kos sedang diteliti bersama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kerajaan Negeri.

Beliau turut memaklumkan pemasangan semula lampu jalan sudah dilaksanakan, manakala kerja pembaikan jalan raya akan dimulakan selepas semua proses baik pulih dan pembinaan rumah selesai.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.