SHAH ALAM, 19 SEPT: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (AIr Selangor) memulakan kerja penggantian paip usang di Taman Selayang Baru bagi mengatasi masalah tekanan air rendah yang sekian lama dihadapi penduduk.
Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri berkata fasa pertama melibatkan penggantian 700 meter paip simen asbestos (AC) di sepanjang Jalan Selayang Baru dan dijangka siap Disember ini.
“Pakej seterusnya merangkumi Jalan 14 dan Jalan 16 akan ditawarkan kepada kontraktor menjelang akhir 2025 dan siap penghujung 2026.
“Baki 6.8 km paip di kawasan perumahan itu turut dirancang untuk diganti dengan kerja reka bentuk sedang berjalan. Pelaksanaan dijadual bermula Oktober 2026 dan siap hujung 2027,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, akhbar The Star melaporkan rungutan penduduk Taman Selayang Baru berhubung masalah tekanan air rendah, selain mendedahkan Air Selangor memperuntukkan RM7 juta bagi kerja penggantian paip lama di kawasan itu
Elina menjelaskan keadaan paip AC lama di kawasan itu mengehadkan keupayaan meningkatkan tekanan air kerana berisiko pecah.
“Bagi menjamin kesinambungan bekalan, tekanan air dikawal melalui pemasangan injap pengurang tekanan (PRV). Tekanan purata air di kawasan ini kini dikekalkan pada 9mH dalam julat terkawal,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan banyak daripada 31,000km rangkaian paip Air Selangor di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berusia antara 50 hingga 60 tahun sekali gus menjadi cabaran penyelenggaraan berterusan.
Air Selangor dalam masa sama memohon maaf atas kesulitan yang timbul serta berterima kasih kepada penduduk atas kesabaran sepanjang kerja penggantian dijalankan.