ad

Treler hilang kawalan rempuh pos kawalan, seorang polis bantuan cedera

18 Sep 2025, 12:08 AM
Treler hilang kawalan rempuh pos kawalan, seorang polis bantuan cedera

KUANTAN, 18 SEPT: Sebuah treler merempuh Pos Kawalan Polis Bantuan Felda Kechau 8 di Kuala Lipis, pagi semalam, menyebabkan pemandu dan seorang anggota polis bantuan cedera.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Ismail Man berkata kejadian kira-kira 9.50 pagi itu berlaku apabila treler tanpa muatan dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun dari arah Sungai Temau menuju Kuantan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh pos kawalan berkenaan dan sebuah kereta.

“Rempuhan itu menyebabkan atap dan dinding pos kawalan menghempap sebuah motosikal yang berada di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata akibat insiden itu pemandu lori bersama anggota polis bantuan berusia 23 tahun yang ketika itu berada dalam pos kawalan mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lipis.

Ismail berkata seorang lagi anggota polis bantuan berusia 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta saksi kejadian tampil bagi membantu siasatan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.