HULU LANGAT, 16 SEPT: Rancangan Tebatan Banjir (RTB) merupakan usaha menyeluruh bagi mengurangkan risiko banjir melalui kerja mendalam serta melebarkan sungai, pembinaan kolam takungan dan sistem saliran baharu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz, berkata masih ramai penduduk kurang jelas mengenai maksud sebenar RTB yang sering disebut setiap kali isu banjir dibangkitkan.
"RTB bukan projek biasa. Ia melibatkan kajian teknikal terperinci termasuk jajaran sungai, pengambilan tanah dan pembinaan infrastruktur sokongan. Semua ini bertujuan memastikan aliran air terkawal ketika hujan lebat. Mudah kata, projek ini adalah naik taraf besar-besaran Sungai Langat," jelasnya.

Menurut beliau, kerajaan persekutuan sudah meluluskan RM512 juta bagi projek RTB di Sungai Langat yang kini berada di peringkat laporan kajian teknikal oleh perunding.
"Perunding sedang meneliti aspek teknikal termasuk bahagian sungai yang perlu didalamkan atau dilebarkan, jajaran terlibat serta keluasan pengambilan tanah. Proses ini memerlukan kepakaran konsultan dan mengambil masa sebelum kerja fizikal dimulakan," katanya kepada Media Selangor.
Johan menjelaskan, selain itu Kerajaan Negeri turut melaksanakan RTB berskala tempatan termasuk peruntukan RM10 juta masing-masing di Kampung Batu 16 dan Kampung Batu 10 Cheras, serta hampir RM2 juta bagi mendalamkan Sungai Sering serta menggantikan jambatan usang.
Menurut beliau, pengalaman banjir besar pada 2021 yang menjejaskan lebih 6,000 rumah menjadi pengajaran penting mengapa pelaksanaan RTB perlu dipercepatkan.
"Sejak saya menang ADN, saya terus perjuangkan isu ini. Sudah dua tahun saya bangkitkan dalam Dewan, alhamdulillah Kerajaan Negeri meluluskan RM10 juta untuk projek tebatan di Batu 16 dan Batu 10 untuk skala kecil. Ini bukti kita serius lindungi rakyat," tegasnya.
Beliau berkata, pihaknya berulang kali mendesak kerajaan persekutuan supaya mempercepatkan projek RTB Sungai Langat kerana penduduk masih hidup dalam kebimbangan setiap kali hujan lebat.
"Kita sudah desak supaya jangan tunggu lama. Katanya setahun, tapi sudah enam bulan berlalu. Saya minta paling lewat hujung tahun ini kerja-kerja awal mesti dimulakan. Kalau ada lokasi yang kritikal, laksanakan dulu," ujarnya.
Johan turut memaklumkan projek RTB yang dibiayai Kerajaan Negeri dijangka dimulakan dalam tempoh sebulan dua lagi, dengan jangkaan siap sekitar enam bulan selepas kerja bermula.
"Hulu Langat memerlukan perhatian khusus kerana kawasan tadahan air yang membekalkan lebih separuh keperluan air bersih di Lembah Klang.
"Di sini terdapat banyak sungai utama dan anak sungai seperti Sungai Lopo, Sungai Congkak, Sungai Manggis, Sungai Gabai dan Sungai Pansun. Semua ini memerlukan sistem saliran yang teratur, sebab itu kita perlukan bajet besar bagi projek tebatan," jelasnya.
Sementara itu tinjauan Media Selangor ke Kampung Batu 16, Hulu Langat pagi tadi mendapati keadaan banjir sudah pulih sepenuhnya, dengan rumah penduduk boleh diduduki kembali.
