KUALA SELANGOR, 25 NOV: Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh dijangka mula beroperasi selewat-lewatnya pada 2027, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek pembinaan oleh Kerajaan Persekutuan itu akan dipantau rapi agar disiapkan mengikut jadual, bagi menangani isu banjir di kawasan sekitar.
“Untuk tahun ini, kita telah melaksanakan beberapa projek jangka pendek dan ada yang menunjukkan kesan positif. Namun di kawasan ini (Sungai Buloh), benteng yang dibina kurang berkesan akibat limpahan air susulan hujan berterusan.
“Oleh itu, kita akan memantau pembinaan RTB Sungai Buloh yang dijangka mampu mengurangkan masalah banjir sehingga 60 peratus. Mengikut jadual, sebahagian pakej projek akan siap secara berperingkat pada 2027, 2029 dan 2030.
“Dalam masa sama, kita akan lihat langkah segera yang boleh diambil termasuk pengukuhan benteng. Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan lebih RM20 juta termasuk RM700,000 bagi benteng di kawasan ini,” katanya petang ini.
Terdahulu, ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Desa Aman, Amirudin memaklumkan sekolah berkenaan merupakan pusat pemindahan sementara (PPS) terbesar setakat ini, menempatkan hampir 1,000 mangsa banjir.
Beliau turut menjelaskan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diarahkan menjalankan kerja pembersihan dan memastikan sistem perparitan berada dalam keadaan baik.
“PBT telah diminta memeriksa sistem perparitan sejak Oktober termasuk kawasan berisiko banjir. Kita juga mengambil maklum semua aduan termasuk yang berkaitan pembinaan.
“Kita akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa kerana dikhuatiri berlaku gelombang kedua… ini baru permulaan, Disember dijangka berlaku air pasang besar dan hujan berterusan,” katanya.
Setakat jam 3.30 petang, seramai 2,795 mangsa daripada 750 keluarga ditempatkan di 21 PPS di lima daerah iaitu Kuala Selangor (7), Klang (4), Hulu Langat (4), Shah Alam (3) dan Sabak Bernam (3).








