SHAH ALAM, 14 SEPT: Lebih 100,000 pelancong mengunjungi Muzium Sultan Alam Shah di sini, sejak ia dibuka semula kepada umum pada Februari lalu, kata EXCO Kebudayaan.
Datuk Borhan Aman Shah berkata jumlah tersebut melepasi sasaran yang ditetapkan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) sekali gus membuktikan usaha naik taraf muzium tersebut berhasil.
“Minggu lalu saya telah sampaikan anugerah khas kepada pengunjung yang ke-100,000. Yang menerima itu adalah pengunjung dari Batu Pahat, Johor.
“Ini baru enam bulan kita buka dan sekarang sudah lebih 100,000 pengunjung dan saya yakin dan percaya ini akan memberi lagi motivasi kepada PADAT untuk adakan program khas,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis penutup program tahunan Bermalam di Muzium 2025 di Muzium Sultan Alam Shah di sini, yang melibatkan 113 peserta, hari ini.

Dalam pada itu, Borhan menjangkakan kehadiran pelancong ke Muzium Sultan Alam Shah melebihi 1,000 pengunjung sehari sempena cuti umum Hari Malaysia dan musim cuti sekolah.
“Saya lihat cuti sekolah ini seminggu, biasanya kita akan terima lebih 1,000 pengunjung sehari. Ini menunjukkan muzim ini memainkan peranan yang besar untuk pelancongan dan penggemar sejarah,” katanya.
Muzium Sultan Alam Shah ditutup sejak 2019 bagi memberi laluan kepada projek naik taraf membabitkan tiga galeri iaitu galeri sejarah, galeri adat dan kebudayaan, serta galeri alam semula jadi.
Muzium berkenaan turut diberi nafas baharu dengan mengetengahkan pelbagai tarikan seperti pameran warung era 1960-an, alam kubur tiga dimensi (3D) selain penggunaan aplikasi sistem kod respon pantas (QR) untuk kemudahan pengunjung.
Terletak di Seksyen 14 di sini, muzium utama negeri itu dibuka semula pada 8 Februari lalu sempena Tahun Melawat Selangor 2025.