Karya Haron Mokhtar diabadikan di Muzium Sultan Alam Shah

13 Dis 2025, 4:01 AM
Karya Haron Mokhtar diabadikan di Muzium Sultan Alam Shah
Karya Haron Mokhtar diabadikan di Muzium Sultan Alam Shah
Karya Haron Mokhtar diabadikan di Muzium Sultan Alam Shah
Karya Haron Mokhtar diabadikan di Muzium Sultan Alam Shah
Karya Haron Mokhtar diabadikan di Muzium Sultan Alam Shah

SHAH ALAM, 13 DIS: Pelukis tersohor Dato' Haron Mokhtar teruja apabila lebih 20 karyanya yang terjual dalam pameran Siri Perakam Waktu pada 2018, dipamerkan di Muzium Sultan Alam Shah, di sini.

 Beliau berkata pameran solo kelapan itu pernah diletakkan di Galeri Shah Alam dan ada antara hasil kerjanya dibeli Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

 “Ketika pameran itu, kesemua 86 lukisan habis terjual. Selepas itu, saya tidak tahu ke mana ia pergi sebab waktu itu hanya terima wang pembelian lukisan sahaja.

Pelukis Dato' Haron Mokhtar di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada 24 November 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

 “Tetapi hari ini pada 2025, (lukisan) mencecah (usia) tujuh hingga lapan tahun, barulah saya sedar karya saya sebenarnya berada di satu tempat yang saya anggap sangat mulia iaitu muzium.

 “Ini kerana pada saya, muzium adalah khazanah yang sangat besar takrifnya untuk masa depan. Tempat yang menjadi pengekalan budaya,” katanya kepada Media Selangor.

 Siri Perakam Waktu dengan tajuk Haron Mokhtar: Kapsul Masa 1988-2018 menumpukan empat tema utama iaitu adat, budaya dan warisan, haiwan, figura serta pengangkutan.

 Tajuk dalam karya pelukis kelahiran Sabak Bernam itu antaranya Siri Khazanah Bahari I-IX, Waris Baba dan Nyonya I-III, Pelamin Baba Nyonya dan Balik Haji I-II.

 Mesra dipanggil Cikgu Haron, beliau menyifatkan siri pamerannya itu meninggalkan kesan mendalam berikutan berlaku perubahan corak warna dalam lukisan yang melambangkan kepelbagaian emosi.

Pelukis Dato' Haron Mokhtar menunjukkan antara hasil karyanya di Galeri Merah Teratak Anak Amas, Sungai Besar pada 30 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

 “Saya menghabiskan kira-kira dua tahun untuk menyiapkan karya bagi pameran ini dan ketika itu saya sakit, suka guna warna-warna gelap dan suram mencerminkan emosi tertekan.

 “Warna ceria muncul pada penghujung siri apabila kesihatan dan emosi semakin pulih. Disebabkan itu jika datang ke muzium, boleh lihat perbezaan warna, ada ceria dan ada sedikit suram,” katanya.

 Muzium Sultan Alam Shah dibuka semula pada Februari tahun ini dengan kos RM5.23 juta.

 Lebih 1,000 bahan termasuk artifak, diorama, model dan replika dipamerkan merangkumi sejarah, kebudayaan, warisan dan 800 spesimen berkaitan alam semula jadi khususnya di Selangor dan Malaysia.

Latar belakang

Asal: Simpang Lima, Sungai Besar, Selangor

Umur: 62 tahun

Keluarga: Anak ke-6 daripada 12 beradik, empat anak

Pendidikan: Seni Halus, UiTM

Kerjaya: Bekas guru seni visual, kini pelukis sepenuh masa

Pencapaian: Pemenang Bakat Muda Sezaman (1987), 8 pameran solo, ratusan pameran berkumpulan

Gaya Lukisan: Dua lapisan (bangunan & kehidupan), berkonsepkan rumah dan jati diri Melayu

Galeri: Galeri Merah Teratak Anak Amas, Sungai Besar

Kolektor Tersohor: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor