ad

Selangor peruntuk RM4.4 juta baiki empat pangsapuri di Parlimen Ampang

14 Sep 2025, 2:00 AM
Selangor peruntuk RM4.4 juta baiki empat pangsapuri di Parlimen Ampang

AMPANG JAYA, 14 SEPT: Kerajaan Negeri terus menunjukkan komitmen menyelesaikan isu perumahan strata apabila sebanyak RM4,409,170 diperuntukkan bagi kerja-kerja baik pulih empat pangsapuri di Parlimen Ampang tahun ini.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata, peruntukan itu melibatkan kerja membaiki lif, tangki air, reling serta kemudahan infrastruktur lain demi memastikan penduduk dapat tinggal dalam keadaan lebih selesa dan selamat.

"Lebih RM4 juta ini bukan sedikit. Kita mahu pastikan semua penduduk rumah pangsa, khususnya projek lama yang belum selesai isu strata, terus disantuni. Setiap tahun kita akan teruskan peruntukan bagi tujuan ini," katanya.

Beliau ditemui pada Program Rewang Komuniti Strata Negeri Selangor Peringkat Majlis Perbandaran Ampang Jaya di Dewan MPAJ Lembah Jaya, di sini semalam.

Beliau menegaskan Selangor memberi keutamaan kepada isu pemilikan strata kerana masih banyak projek lama di Ampang, Gombak dan beberapa kawasan lain yang belum mempunyai hak milik.

Katanya, usaha ini turut diperkukuh dengan kerjasama Kerajaan Pusat melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

"Kerajaan Pusat sentiasa memantau manakala Kerajaan Negeri sentiasa memberi memberi sokongan dan dokongan supaya kita tidak terlepas daripada bantuan-bantuan yang sepatutnya kita dapat," jelasnya.

Pada majlis sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad pula menekankan usaha Kerajaan Negeri membangunkan lebih banyak rumah mampu milik lengkap dengan fasiliti moden, sejajar dengan keperluan komuniti bandar yang semakin meningkat.

"Setakat ini lebih 76,000 unit rumah mampu milik telah siap dibina. Menjelang 2028, kita sasarkan 200,000 unit. Ini seiring aspirasi kerajaan pusat untuk menyediakan sejuta rumah mampu milik di seluruh negara," jelasnya.

Selain penyediaan rumah, pelbagai inisiatif di bawah Iltizam Selangor Penyayang turut ditawarkan termasuk Skim Smart Sewa, Skim Ceria, program kebajikan serta sokongan pendidikan dan kesihatan bagi meringankan beban rakyat bandar.

Beliau turut menekankan bahawa semangat komuniti melalui Jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) amat penting untuk memastikan kawasan kediaman sentiasa terjaga, ceria dan selamat.

"Apabila komuniti bersatu, kerajaan juga lebih mudah menyalurkan bantuan. Inilah bukti kejayaan sebenar," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.