Lelaki mengaku tidak bersalah cabul anak pegawai kanan polis

23 Okt 2026, 10:18 AM
Lelaki mengaku tidak bersalah cabul anak pegawai kanan polis

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Seorang arkitek bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan mencabul anak lelaki pegawai kanan polis di gimnasium Taman Melawati, Ahad lalu.

Datuk Saiful Anuar Abdul Aziz, 61, didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berumur 18 tahun dengan niat mencabul kehormatannya di bilik sauna (steam room) gimnasium di sebuah pusat beli-belah di Taman Melawati, pada 7.10 malam, 18 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya M Ramanathan Alias Ashwin memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam K Theivaendran yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga termasuk ibu berumur 89 tahun yang uzur.

“Saya membantah permohonan pihak pendakwaan untuk tertuduh menyerahkan pasport kerana anak guam mempunyai projek di luar negara termasuk di Riyadh dan tiada risiko untuk tertuduh melarikan diri,” katanya.

Majistret Siti Nur Ain Ariffin membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 26 November ini untuk sebutan kes.

Rabu lalu, media melaporkan seorang lelaki warga emas ditahan pegawai kanan polis berkenaan selepas didakwa mencabul anak lelakinya di sebuah pusat gimnasium di Melawati.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berada di pusat gimnasium itu bersama rakannya.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.