ad

Geran Bantuan Pangsapuri Selangor selesai masalah lif, bumbung bocor penduduk strata

14 Sep 2025, 6:00 AM
Geran Bantuan Pangsapuri Selangor selesai masalah lif, bumbung bocor penduduk strata

AMPANG JAYA, 14 SEPT: Geran Bantuan Pangsapuri Negeri Selangor akhirnya menyelesaikan masalah berlarutan puluhan tahun yang dihadapi penduduk strata, termasuk bumbung bocor dan lif rosak.

Penasihat Pangsapuri Blok Mawar, Cheng Kok Wah, 44, berkata geran itu membolehkan kerja baik pulih bumbung dilakukan sepenuhnya selepas sekian lama menunggu.

Penasihat Pangsapuri Blok Mawar Cheng Kok Wah

"Sebelum ini memang setiap kali hujan air masuk sehingga penduduk terpaksa menggunakan baldi untuk menadah air," katanya ketika ditemui selepas sesi penyerahan geran berkenaan sempena Program Rewang Strata Negeri Selangor Peringkat Majlis Perbandaran Ampang Jaya di Dewan MPAJ Lembah Jaya, semalam.

Beliau menambah, aduan daripada penduduk semakin berkurangan selepas projek baik pulih tersebut siap dalam tempoh dua bulan.

Sementara itu, Pengerusi Kasturi Apartment, Rozilah Ramli, 60, berkata masalah lif yang dialami sejak sekian lama bakal berakhir tidak lama lagi.

Pengerusi Kasturi Apartment Rozilah Ramli

"Saya duduk sini lebih 25 tahun, sudah lama tunggu lif ini. Alhamdulillah, bantuan ini sangat membantu terutama warga emas di sini untuk hidup lebih selesa," ujarnya.

Rozilah turut berharap kerja baik pulih rumah sampah dan pagar yang hampir runtuh di pangsapuri itu dapat dilaksanakan segera.

Pada majlis sama, sijil penghargaan turut diberikan kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) yang menjayakan program dua hari tersebut.

Pengerusi MC Pangsapuri Desa Lembah Permai, Mohammad Isa Salbin, 71, berkata penghargaan itu membuktikan usaha mereka selama ini tidak sia-sia.

Pengerusi MC blok 1 Mohammad Isa Salbin

"Kita bersyukur kerana penat lelah selama ini dihargai oleh Lembaga Perumahan Kerajaan Negeri Selangor," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.