ad

Selangor cadang rumah mampu milik konsep Madani dalam Belanjawan 2026

12 Sep 2025, 4:00 AM
Selangor cadang rumah mampu milik konsep Madani dalam Belanjawan 2026

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Kerajaan Negeri bercadang membawa perancangan pembinaan rumah mampu milik berkonsep Madani yang menyediakan prasarana awam seperti masjid, sekolah dan tadika pada Belanjawan Selangor 2026.

EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah berkata keperluan penyediaan rumah mampu milik di Selangor sangat mendesak seiring dengan negeri populasi teramai di Malaysia yang kini mencecah 7.2 juta penduduk.

“Cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pembinaan rumah berkonsep Madani ini perlu diangkat dan dibincangkan. Selangor mempunyai sumber kewangan kukuh contohnya Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) melalui Tabung Amanah Penyelenggaraan Kuota Bumiputera.

“Dasar perumahan Selangorku, Smart Sewa Selangor dan Rumah Idaman turut menjana hasil kepada negeri jadi pada pendapat saya kita boleh cairkan semula sebagai aset untuk membina rumah subsidi melalui konsep Madani yang perlu dilaksanakan segera,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Libat Urus Belanjawan Negeri Selangor 2026 di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara di sini, semalam.

Menurut Borhan, tumpuan pembangunan rumah mampu milik itu akan diberi di kawasan pinggir bandar termasuk Kuala Langat, Sepang dan Kuala Selangor.

“Rumah mampu milik ditawarkan pada harga berpatutan. Kita fokus di pinggir bandar kerana harga tanah di kawasan bandar agak tinggi.

“Kawasan di Kuala Langat, Sepang dan Kuala Selangor berada di pinggiran bandar tetapi lokasinya strategik yang mampu menarik minat pembeli,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau menyifatkan seruan perdana menteri untuk menyediakan perumahan mampu milik mengikut piawaian dasar Madani perlu disahut Kerajaan Negeri, khususnya Selangor demi manfaat rakyat berpendapatan rendah (B40).

“Ini kerana kebanyakan dasar perumahan negeri adalah pembinaan yang dibuat berkonsep serahan pocket land (tanah tersepit).

“Konsep pocket land memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan untuk mencadangkan pembinaan rumah kepada pemaju tetapi banyak kekangan untuk laksana pembangunan lain yang mengambil masa yang panjang,” jelasnya.

Sebelum ini, Anwar mengarahkan semua projek perumahan rakyat berskala besar di negara ini mematuhi sepenuhnya kerangka Madani termasuk menyediakan semua kemudahan asas lain yang memenuhi keperluan rakyat.

Menurutnya yang juga menteri kewangan, syarat itu termasuk pembinaan sekolah menengah, sekolah rendah atau 'vertical school' lengkap dengan lif khas dalam bangunan, tadika dan prasekolah, kemudahan keselamatan dan kesihatan.

Katanya lagi, projek perumahan dengan 3,500 unit tidak boleh diteruskan sekiranya gagal memenuhi syarat itu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.