Smart Sewa bantu pembeli sedia pendahuluan kediaman

3 Nov 2026, 12:13 AM
Smart Sewa bantu pembeli sedia pendahuluan kediaman
Smart Sewa bantu pembeli sedia pendahuluan kediaman
Smart Sewa bantu pembeli sedia pendahuluan kediaman
Smart Sewa bantu pembeli sedia pendahuluan kediaman

SHAH ALAM, 3 NOV: Pasangan muda dan keluarga baharu yang belum memiliki rumah boleh memanfaat Skim Smart Sewa sebagai langkah sementara sebelum beralih kepada pemilikan kediaman.

Pemangku Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Mohd Hafiz Hassan berkata skim itu menjadi jambatan bagi golongan yang belum berkemampuan untuk membeli rumah.

Beliau memberitahu pasangan muda, keluarga baharu dan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana antara kumpulan yang sesuai menyertai skim yang diperkenal sejak tahun 2017.

Katanya, penyewa akan menerima pulangan 30 peratus bayaran sewa tertakluk syarat tertentu yang boleh dimanfaatkan sebagai simpanan termasuk untuk menyediakan pendahuluan rumah.

“Ini membolehkan pasangan muda dan keluarga yang belum mampu membeli rumah ada kediaman terlebih dahulu selain diberi ruang stabilkan kewangan sebelum beralih kepada pemilikan,” katanya kepada Media Selangor.

Mohd Hafiz menjelaskan kadar sewa melalui skim berkenaan antara RM450 hingga RM1,300 sebulan bergantung kepada unit dan projek manakala tempoh sewaan maksimum selama lima tahun.

“Kalau dia (pasangan muda) tidak mampu membeli rumah, kita adakan program khas iaitu Skim Smart Sewa. Jika tidak mampu, mereka boleh menyewanya dahulu.

“Ia untuk disewa selama maksimum lima tahun. Dalam tempoh itu, kita harap penyewa dapat membina ekonomi dan mampu membeli rumah pada masa depan,” katanya.

Beliau menjelaskan golongan berusia 18 hingga 35 tahun antara kelompok paling ramai menunjukkan minat terhadap skim tersebut.

Setakat Ogos, sebanyak 1,326 unit disediakan melalui skim berkenaan. Seramai 935 penyewa memanfaatkan inisiatif berkenaan setakat ini.

Dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2), bilangan unit rumah ditingkat kepada 3,000 menjelang tahun 2030 bagi membantu golongan yang belum layak mendapat pembiayaan perumahan.

Sebahagian bayaran sewa disimpan LPHS sebelum dipulangkan kepada penyewa sebagai pendahuluan untuk mereka membeli rumah.

Fakta Rumah Selangorku. GRAFIK AZWA MALEK

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.