ad

Selangor utamakan isu pemilikan strata, kerjasama pemaju dalam perancangan

14 Sep 2025, 1:45 AM
Selangor utamakan isu pemilikan strata, kerjasama pemaju dalam perancangan

AMPANG JAYA, 14 SEPT: Kerajaan Negeri menegaskan isu pemilikan strata akan terus menjadi keutamaan, dengan pelbagai langkah dirancang bagi memastikan penduduk rumah pangsa memiliki hak milik sah.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata, pemberian Geran Bantuan Pangsapuri Negeri Selangor membuktikan Kerajaan Negeri prihatin terhadap nasib rakyat, khususnya di kawasan berstrata yang berdepan masalah sejak sekian lama.

"Ramai penduduk masih belum memiliki strata kerana pelbagai kekangan, antaranya isu pewarisan atau bayaran. Dalam keadaan ini, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan pemaju untuk melaksanakan baik pulih atau pembinaan semula," katanya.

Beliau ditemui pada Program Rewang Komuniti Strata Negeri Selangor Peringkat Majlis Perbandaran Ampang Jaya di Dewan MPAJ Lembah Jaya, di sini semalam.

Tambahnya, cadangan Kerajaan Pusat untuk membina sekolah dalam kawasan perumahan berstrata turut diberi perhatian, bagi memastikan kemudahan asas tersedia berhampiran kediaman.

Selain itu, katanya kajian juga sedang dijalankan untuk menambah parkir bertingkat di kawasan bandar, memandangkan banyak pembangunan lama berdepan kekangan ruang tanah.

Mengulas mengenai Program Rewang Strata Selangor, beliau menyifatkannya lebih berkesan berbanding rewang sekampung kerana komuniti berstrata tinggal setempat sekali gus memudahkan perancangan program.

"Sambutannya pun lebih hebat. Melalui rewang strata, kita dapat buka kaunter agensi, dengar masalah secara terus, dan selesaikan isu setempat," jelasnya.

Katanya, program yang kali kedua diadakan itu turut mendapat sokongan penuh Dato' Menteri Besar dan bakal diteruskan di daerah lain termasuk Hulu Selangor.

Borhan berharap peruntukan tambahan dapat disediakan dalam Belanjawan 2026 agar program seumpama ini dapat dilaksanakan lebih kerap untuk menyantuni masyarakat bandar.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.