KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor pada tahun depan dijangka kekal positif antara 5 hingga 5.8 peratus dengan nilai jangkaan RM479 bilion.
Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi di Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata unjuran tersebut bagaimanapun dilihat sedikit perlahan berbanding sebelum ini berikutan keadaan ekonomi Selangor yang sudah matang.
Menurut Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman, sektor pembinaan dijangka menyumbang kadar pertumbuhan tertinggi antara 5.8 hingga 6.8 peratus, diikuti sektor perkhidmatan antara 5.4 hingga 6.3 peratus.
“Ekonomi Selangor sekarang berada di fasa stabil kerana Selangor ada ekonomi yang matang. Antara negara yang mempunyai ekonomi matang adalah seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, dan negara-negara Eropah.
“Jadi Selangor perlukan satu pendekatan baharu iaitu pertumbuhan berasaskan produktiviti. Sebagai contoh, bakat dan kemahiran,” katanya ketika membentangkan Laporan Tinjauan Ekonomi Selangor 2026.
Laporan julung kali yang dilaksanakan Kerajaan Negeri itu dibentangkan di hadapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Libat Urus Belanjawan 2026 di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Muhammad Daaniyall berkata ekonomi global tahun depan dijangka bertumbuh pada kadar sederhana atas pelbagai faktor, namun Selangor perlu beradaptasi dan meneroka potensi baharu.
Antara peluang strategik yang perlu diambil Kerajaan Negeri, katanya, memajukan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan peralihan ekonomi hijau, perkhidmatan ekonomi digital, serta kerangka ekonomi biru Asean.
“Ekonomi biru merupakan enjin pertumbuhan baharu Asean. Cadangan peningkatan kapasiti Pelabuhan Klang melalui pembinaan terminal di Pulau Carey dan Westport dijangka membantu proses pertumbuhan ini,” katanya.
Dr Muhammad Daaniyall turut memuji Selangor yang menyediakan 43.7 peratus daripada hasil negeri bagi perbelanjaan pembangunan berbanding jumlah 21 peratus yang disediakan kerajaan Persekutuan bagi sektor sama.
Beliau bagaimanapun menyarankan Kerajaan Negeri mewujudkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada KDNK bagi membantu kerajaan Pusat dalam menyedia perbelanjaan pembangunan.
“Saya ucapkan tahniah kepada Selangor kerana menyediakan perbelanjaan pembangunan yang tinggi. Jangan takut untuk sediakan perbelanjaan pembangunan kerana inilah yang akan merangsang ekonomi,” katanya.