ad

Warga emas rugi RM125,000 terperdaya skim pelaburan tawar pulangan 200 peratus

10 Sep 2025, 11:30 AM
Warga emas rugi RM125,000 terperdaya skim pelaburan tawar pulangan 200 peratus

JOHOR BAHRU, 10 SEPT: Pemandu pelancong warga emas berputih mata selepas wang simpanan peribadinya berjumlah RM125,000 lesap akibat terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang menawarkan pulangan hingga 200 peratus.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata mangsa, lelaki tempatan berusia 72 tahun itu dikatakan tertarik dengan iklan pelaburan di Facebook pada Mei lalu sebelum mendakwa dimasukkan ke dalam kumpulan Telegram.

Beliau berkata mangsa yang tinggal di Larkin di sini, kemudiannya berhubung dengan pengendali kumpulan itu selepas menekan pautan iklan tersebut.

"Mangsa yakin dengan tawaran lumayan itu dan diminta memasukkan wang ke dalam beberapa akaun bank dan perlu menunggu sebulan untuk mendapat keuntungan dijanjikan.

"Namun, mangsa hanya menerima RM100 dan masih diminta membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan keuntungannya," katanya dalam kenyataan.

Raub berkata mangsa melakukan 12 transaksi ke enam akaun bank berbeza dari 26 April hingga 11 Julai lalu.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.