ad

MBPJ jayakan agenda bersih, hijau menerusi Hari Cuci Malaysia

1 Okt 2025, 9:06 AM
MBPJ jayakan agenda bersih, hijau menerusi Hari Cuci Malaysia
MBPJ jayakan agenda bersih, hijau menerusi Hari Cuci Malaysia

SHAH ALAM, 1 OKT: Penyertaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam Hari Cuci Malaysia baru-baru ini mengukuhkan komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar menerusi sokongan padu kepada Pelan Induk Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negeri Selangor (PISPPANS).

Datuk Bandarnya, Mohamad Zahri Samingon berkata penglibatan 500 penduduk Petaling Jaya secara serentak itu mencerminkan semangat kebersamaan dalam menjayakan agenda kebersihan dan kelestarian.

“Program Hari Cuci Malaysia 2025 ini turut mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) dengan mencatatkan gotong-royong teramai dengan 100,817 peserta melebihi sasaran awal 100,000 peserta.

“Rekod MBOR kedua pula berjaya mengumpul minyak masak terpakai, 27,679.31 kilogram manakala bagi kutipan sisa pula, 6,462 tan sisa seperti sisa plastik, sisa kebun, kayu, kertas serta tekstil berjaya dikutip,” katanya menerusi Perutusan Datuk Bandar sempena Mesyuarat Penuh MBPJ semalam.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon. Foto Facebook MBPJ

Menurut beliau, program yang dilaksanakan 27 September lalu itu selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) untuk menjadikan Selangor sebuah negeri mampan, bersih dan hijau.

Sebelum ini, media melaporkan MBPJ mengutip 1,176 kilogram sampah sempena Hari Cuci Malaysia peringkat Petaling Jaya yang diadakan di Sungai Kayu Ara Retention Pond, Kampung Chempaka untuk memberi kesedaran mengenai kebersihan awam kepada masyarakat.

Program kutip sampah di MBPJ sempena Hari Cuci Malaysia itu merupakan inisiatif Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi meraikan Hari Kebersihan Sedunia yang disambut 28 September setiap tahun.