ad

Wanita cuba dekati Sultan Perak didakwa di mahkamah

7 Sep 2025, 12:48 PM
Wanita cuba dekati Sultan Perak didakwa di mahkamah

IPOH, 8 SEPT: Wanita berusia 41 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Nurhaswani Afni Mohamad Zorki didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan bangunan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, jam 8.20 pagi, 31 Ogos lalu.

Pertuduhan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan kecederaan parah itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Nurhaswani yang kelihatan tenang, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul, memaklumkan tiada pengakuan direkodkan memandangkan laporan awal dari Hospital Bahagia Ulu Kinta mengesahkan tertuduh menghidap skizofrenia.

"Oleh itu, pihak pendakwaan memohon perintah di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah untuk mendapatkan penilaian psikiatri lanjut bagi menentukan keadaan mentalnya dan kesesuaian untuk diadili," katanya, lapor Berita Harian.

Peguam tertuduh, M Saravanan, tidak membantah permohonan berkenaan.

Majistret Mohd Harith membenarkan permohonan dan memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatri lanjut bagi mendapatkan laporan penuh sebelum prosiding diteruskan.

Mohd Harith berkata, mahkamah tidak menawarkan jaminan dan memerintahkan tertuduh kekal menerima rawatan di hospital.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 8 Oktober ini.

Pada 31 Ogos lalu, Nurhaswani ditahan ketika cuba mendekati Sultan Nazrin di pentas utama ketika lagu kebesaran negeri Perak berkumandang.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.