Mekanik didakwa curi pakaian dalam wanita di sebuah butik pakaian

12 Mei 2026, 7:28 AM
Mekanik didakwa curi pakaian dalam wanita di sebuah butik pakaian

SHAH ALAM, 12 MEI: Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mencuri beberapa pakaian termasuk pakaian dalam wanita di sebuah butik terkenal di pusat beli-belah AEON, minggu lalu.

Tertuduh berusia 21 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri sembilan barangan milik sebuah butik pakaian di pusat beli-belah AEON, Jalan Lagenda, Taman Lagenda dalam daerah Melaka Tengah jam 7.50 malam Ahad lalu.

Barangan yang didakwa dicuri termasuk beberapa helai baju-T lelaki, pakaian wanita, pakaian dalam wanita, seluar pendek dan gaun dengan nilai keseluruhan RM491.

Kes didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, tertuduh juga boleh dikenakan hukuman sebat mengikut peruntukan undang-undang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Syauqi Mardia Baharudin menawarkan jaminan RM7,000 terhadap tertuduh sepanjang prosiding berlangsung, lapor Harian Metro.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhamad Mawardi Zainudin yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan.

Menurutnya, tertuduh bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan selain perlu menanggung ibunya yang menghidap barah otak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.