Lelaki didenda RM9,000 ubah suai nombor plat kereta Singapura isi RON95

14 Jan 2026, 4:50 AM
Lelaki didenda RM9,000 ubah suai nombor plat kereta Singapura isi RON95

SHAH ALAM, 14 JAN: Lelaki warga emas didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret Kulai, Johor selepas mengaku bersalah mempamerkan nombor pendaftaran kereta yang bukan milik kenderaan itu awal bulan ini.

Long Sa Kow, 64, yang merupakan pemastautin tetap Singapura selaku Orang Kena Saman (OKS), membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Majistret R Salini.

Mengikut pertuduhan, OKS itu didakwa sebagai pemandu kereta jenis Volkswagen Jetta kerana mempamerkan nombor pendaftaran yang bukan milik kenderaan tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak di Batu 21/4, Jalan Johor Bahru–Air Hitam, Kulai jam 10.30 malam 2 Januari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87), yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000 atau penjara antara satu hingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Thiviya, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Sharmaine Fairuz Mohd Zulkifli, lapor Sinar Harian.

Sharmaine dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum memandangkan OKS merupakan pesara yang tiada pendapatan tetap.

“OKS menanggung isteri yang merupakan suri rumah dan tiga orang anak, di mana dua daripadanya masih bersekolah. Ini kesalahan pertamanya dan beliau berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini serta akan mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan Kerajaan Malaysia,” katanya.

Berdasarkan fakta kes yang diakui benar oleh OKS, pada 4 Januari lalu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai mengesan satu video di Facebook yang memaparkan sebuah Volkswagen Jetta berwarna perak bernombor pendaftaran LJ 8967 sedang mengisi minyak RON95 di sebuah stesen minyak di Kulai.

Hasil siasatan mendapati OKS merupakan pemandu kenderaan tersebut yang sepatutnya bernombor pendaftaran SLJ 8967 M, namun telah menutup huruf ‘S’ dan ‘M’ pada nombor pendaftaran itu bagi membolehkannya mengisi minyak subsidi RON95.

Pemeriksaan lanjut ke atas nombor enjin dan casis mengesahkan bahawa kenderaan itu didaftarkan dengan nombor pendaftaran SLJ 8967 M, dan bukan LJ 8967 seperti dipamerkan.

Sebelum itu, pada 3 Januari, tular satu video berdurasi satu minit 30 saat di media sosial yang memaparkan seorang individu mengesan perbuatan pemandu kereta berdaftar di Singapura yang mengisi petrol RON95.