GOMBAK, 31 OGOS: Program jualan murah barangan asas yang diperkenalkan Kerajaan Negeri tiga tahun lalu berjaya membentuk ekosistem baharu dalam memperkukuh jaminan keselamatan makanan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata formula Jualan Ehsan Rakyat atau kini Jualan Ehsan Rahmah (JER) turut dijadikan rujukan kerajaan pusat agar manfaatnya diperluas ke seluruh negara.
“Impaknya sangat baik, malah JER yg diperkenal kerajaan persekutuan juga mengambil formula yang hampir sama dengan JER yang kita laksanakan. Sekarang kita sedang bergerak dalam pelbagai bentuk.
“Apa yang penting, ia membentuk ekosistem iaitu ekosistem kepada keselamatan bekalan makanan kepada negeri pada masa hadapan, supaya kita menjadi komuniti yang berdaya tahan,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan program larian santai Merdeka Fun Run Nadi Sungai Tua di Dataran Niaga yang disertai lebih 1,000 peserta di sini, hari ini.

Tambahnya, Kerajaan Negeri berhasrat untuk terus menambah baik program JER termasuk memberdaya jaminan keselamatan makanan menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) dan pelan ekonomi negeri.
“Kita akan umumkan (penambahbaikan) termasuk dalam RS-2 dan belanjawan negeri. Beberapa rencana jangka pendek dan sederhana untuk kita teruskan kemajuan negeri,” katanya.
Untuk rekod, Kerajaan Negeri mula memperkenalkan program Jualan Ehsan Rakyat ketika sambutan Hari Kemerdekaan peringkat Selangor pada 30 Ogos 2022.
Ia kemudian ditukar kepada Jualan Ehsan Rahmah selepas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
JER menawarkan barangan asas yang dijual pada harga lebih murah berbanding pasaran, khusus bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40).