ad

Sedentari

30 Ogos 2025, 12:39 AM
Sedentari

setelah bangkit setiap hari

tepat jam enam pagi

dua saja harapannya :

kehidupan

menjelma sepiring sarapan

sederhana tapi mengenyangkan

nasi lemak, atau

paling tidak muesli

dan esok –

moga ada lagi esok.

cerita seputar mengitari plot lama.

kerja atas meja kian bertimbun

tak akan selesai sampai kiamat

akaun bank gagal bersalin empat angka

ketika bil berjujuk mengetuk peti surat

dituruti harga petrol, kekulit permainan

& sambal pedas yang deras mendaki

sepasang selebriti bercerai lagi

silih menuduh siapa lebih curang

gencatan senjata dikhianati

buat kali entah keberapa

penguasa diangkat sateria

selepas diri sendiri mencetus isu

sekalian penentang dilabel

makhluk kutukan

kekalutan demi kekalutan

yang tak sudah, dan menghilang

sehasta demi sehasta

hingga tak terdengar

apa-apa, tak terjawab

oleh sesiapa.

kotaloka sebuah siri tv

rencam genre

mengulang kisah sama

hingga muntah.

dia hanya petualang

yang tak ingin lagi pergi

melengkapkan lingkaran rutin

lalu pulang tepat waktu.

riuh rusuh & sunyi sepi

saling bertarung

saling tarik tali

menjadi tema hari.

pulang dari kerja

dia diam di kamar pingitan

menikmati suhu 16°c.

pasrah dengan segala

yang tersusun rapi esok.

seketika sunyi pecah

direkah notifikasi –

bungkusan anda dalam perjalanan

tiada yang lebih membahagiakan

sebagai watak kecil kotaloka

tiada, selain ini.

A’riff Mustaffa Hamzah

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.