Saya Dengar Tuan Mengecat Rumah?

10 Okt 2026, 12:30 AM
Saya Dengar Tuan Mengecat Rumah?

Oleh A’riff Mustaffa Hamzah

Ilustrasi Muizzah

tidak sukar mengecat rumah.

dia hanya perlu menyimbah merah

hanya merah – lalu bawa pulang upah

yang cukup memenuhkan meja makan

& menghantar anak ke sekolah kenamaan.

selebihnya ganjaran diri. barangkali

bercuti ke prague, madrid, vienna –

dia ingin menterjemah tinggalan makna

pada warna dinding kota-kota lama.

seluruh warga kota seteru baginya

sedang pada waktu tertentu

majikan yang setia. sendiri –

dia memilih menjadi seekor bebiri

dari ribuan bilangan ternakan.

tiada satu pun tetangga

ketika menyelak pintu

menyapa khabar, bertanya usia

atau dari mana leluhur bermula.

tukang cat –

cukup itu tentang dirinya.

tiga jari berubah pistol

diacu ke lampu. malam ini

kali terakhir merah melatari

dinding-dinding kamar tamu.

dia ingin berpagian

memesan piccolo

atau segelas air kosong

dari kafe kecil di tikung jalan

tanpa bimbang, bebas beban

berjalan menikmati citra kota

melewati gedung, menyeberang jambatan,

melintasi pasar, toko buku, lalu singgah

di kedai pastri mencari cornetto

kejutan pagi isnin buat isteri.

tapi matahari gagal terang, tertangguh lagi

di kerongkong kelam ketika mesej suara berbunyi:

"saya dengar tuan mengecat rumah

apakah masih ada warna merah?"

benar. tidak sukar mengecat rumah.

bukankah dia hanya perlu menyimbahkan merah?

meski bau darah selamanya mengental di telapak tangan.

Kategoriseni budaya

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.