ad

TMS2025: Negeri sasar jadi destinasi pelancongan utama Malaysia

17 Ogos 2025, 2:00 PM
TMS2025: Negeri sasar jadi destinasi pelancongan utama Malaysia

SEKINCHAN, 17 OGOS: Kerajaan Negeri terus giat mempromosikan Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) sebagai inisiatif untuk menjadikan negeri ini sebagai destinasi pilihan utama pelancong tempatan dan antarabangsa.

EXCO Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim, berkata sehingga kini, sebanyak 4.1 juta pelancong direkodkan mengunjungi Selangor sejak awal tahun dan beliau yakin jumlah itu mampu mencapai sasaran yang ditetapkan menjelang akhir 2025.

“Promosi TMS2025 akan diteruskan dengan lebih agresif. Kita yakin dengan kerjasama padu antara Tourism Selangor, Yayasan MBI, para penggiat industri pelancongan, serta pelbagai agensi lain, Selangor mampu menarik lebih ramai pelawat.

“Kita tidak hanya mahu pelancong datang melancong tetapi turut membawa pulang pengalaman yang bermakna dengan melihat sendiri kemajuan dan keharmonian masyarakat di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serahan Sumbangan Bencana Ribut Taman Ria di Dewan Sri Sekinchan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Suee Lim juga mengakui terdapat cabaran dalam mempromosikan Selangor, terutama bersaing dengan negeri lain seperti Melaka dan Pulau Pinang yang turut menonjolkan keunikan tradisi dan kebudayaan masing-masing.

Bagaimanapun, beliau yakin Selangor memiliki kelebihan tersendiri sebagai negeri yang maju dalam aspek ekonomi selain kaya dengan warisan budaya dan kepelbagaian komuniti sekali gus dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata seramai 1.77 juta pengunjung ke Selangor direkodkan sepanjang Januari hingga Mac tahun ini.

Beliau berkata China muncul sebagai negara paling banyak dikunjungi pelancong antarabangsa dengan mencatatkan sejumlah 95,762 orang (19 peratus), diikuti Singapura seramai 61,100 (12 peratus) dan Indonesia 30,172 orang (enam peratus).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.