Buli di sekolah asrama: Selangor pantau ketat, tiada kompromi

13 Ogos 2025, 5:36 AM
Buli di sekolah asrama: Selangor pantau ketat, tiada kompromi

KLANG, 13 OGOS: Selangor akan memantau dengan ketat isu buli di sekolah, khususnya di sekolah berasrama di bawah kelolaan Kerajaan Negeri, tegas Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, tiada kompromi terhadap perbuatan buli kerana ia memberi kesan psikologi dan fizikal yang serius, malah boleh meragut nyawa.

“Kita tidak pernah mengiktiraf perbuatan buli. Ia mesti dibanteras tanpa kompromi. Isu ini perlu diperhalusi mengikut lokasi kejadian, namun kini jelas semakin banyak berlaku di sekolah asrama.

“Saya mahu semua sekolah di bawah Jabatan Agama Islam yang dikelola Kerajaan Negeri diberi pemantauan rapi. Kesannya terlalu serius untuk dibiarkan.

“Saya akan mengambil tindakan paling tegas untuk mengelak kejadian ini kerana ia boleh menyebabkan kecederaan parah atau kematian. Selain buli, masalah sosial lain termasuk dadah juga menjadi fokus utama kita,” katanya.

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari bergambar bersama wakil penerima bantuan sekolah selepas Majlis Penyerahan Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor di Dewan Konvensyen MBDK, Klang pada 13 Ogos 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bantuan Sekolah Negeri 2025 di sini hari ini, yang menyaksikan penyampaian bantuan persekolahan berjumlah RM26.624 juta kepada 873 sekolah di seluruh Selangor.

Mengulas kes buli membabitkan arwah Zara Qairina Mahathir, Amirudin menegaskan insiden itu menjadi amaran keras kepada semua pihak, terutamanya pendidik.

“Kes Zara adalah pengajaran besar kepada semua guru, ibu bapa, dan murid.

“Isu ini tidak hanya perlu dilihat di sekolah sahaja tetapi rumah dan persekitaran. Perlu berganding bahu, bersama-sama selesaikan isu ini,” tegasnya.