SHAH ALAM, 15 JUN: Seramai 16,395 pesawah, petani, penternak, nelayan dan pengusaha agro makanan di Selangor bakal menerima manfaat daripada Bantuan Sokongan Sektor Pertanian bernilai RM25 juta yang diumumkan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan itu disediakan bagi membantu golongan terbabit berdepan peningkatan kos operasi, selain memperkukuh keterjaminan bekalan makanan negeri.
“Bantuan kepada pesawah akan disalurkan dalam bentuk tunai, manakala sebahagian penerima lain akan menerima sokongan dalam bentuk baucar bahan api serta input pertanian.
“Ia dijangka memberi manfaat kepada 16,395 pesawah, petani, penternak, nelayan dan pengusaha agro makanan yang dikenal pasti di seluruh Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Menurut Amirudin, penyerahan simbolik bantuan berkenaan telah disempurnakan EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim sempena program Gagasan Rumpun Selangor (GRS) di Sabak Bernam baru-baru ini.
Katanya, proses penyaluran bantuan kini sedang dimuktamadkan dan penerima yang disenarai pendek dijangka menerima bantuan secara terus menjelang akhir bulan ini.
“Kerajaan Negeri menyasarkan keseluruhan bantuan dapat disalurkan kepada penerima yang layak sebelum penghujung bulan ini supaya manfaatnya dapat dinikmati segera oleh golongan sasar,” katanya.
Pada 16 April lalu, Kerajaan Negeri memperkenalkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa Pertama dengan peruntukan RM131 juta bagi mendepani kesan ketidaktentuan ekonomi susulan krisis geopolitik di Asia Barat.
Amirudin berkata pakej fasa pertama yang bermula bulan ini bertujuan mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan selain mengawal kadar inflasi daripada meningkat keterlaluan.








