ad

Pekerja am maut terjatuh tujuh meter di tapak pembinaan Klang

10 Ogos 2025, 4:34 AM
Pekerja am maut terjatuh tujuh meter di tapak pembinaan Klang

SHAH ALAM, 10 OGOS: Seorang pekerja am warga tempatan maut selepas terjatuh dari ketinggian tujuh meter ketika mengecat struktur besi di sebuah tapak pembinaan di Klang, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.45 pagi ketika mangsa, yang bekerja di bawah subkontraktor, menggunakan platform perancah jenis A-frame untuk melaksanakan tugasnya. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, lapor Berita Harian.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor memaklumkan, pegawai penyiasat dihantar ke lokasi sebaik menerima maklumat kejadian bagi menjalankan siasatan awal.

“Pemeriksaan mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa sedang mengecat pada ketinggian tujuh meter. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi tindakan lanjut,” katanya.

Susulan itu, JKKP mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu kepada majikan bagi menghentikan segera semua kerja di tempat tinggi di tapak pembinaan terbabit sehingga siasatan selesai.

Notis larangan turut dikeluarkan kerana kegagalan pihak majikan menyediakan sistem kerja selamat bagi aktiviti berisiko tinggi itu.

Siasatan diteruskan di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 bagi mengenal pasti punca kejadian dan pihak yang bertanggungjawab.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.