ad

Petronas pasang alat pembakaran mudah alih musnah sisa gas butana

21 Sep 2025, 10:30 AM
Petronas pasang alat pembakaran mudah alih musnah sisa gas butana

KUALA BERANG, 21 SEPT: Satu lagi alat pembakaran mudah alih (portable flare) dipasang hari ini di kawasan Petronas Gas Berhad (PGB), Tapak Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, Kerteh dekat Kemaman, bagi melupuskan sisa gas butana dalam paip yang mengalami kebocoran.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata pihak Petronas telah berjaya memasang unit pertama alat pembakaran mudah alih kira-kira 3.30 pagi tadi untuk memulakan proses pembakaran gas.

Beliau berkata unit kedua yang dibawa dari Kulim, Kedah pula dijangka tiba petang ini dan akan terus dipasang untuk membolehkan keseluruhan gas yang berbaki dalam paip sepanjang 9.6 kilometer (km) dapat dimusnahkan dan kawasan berkenaan diisytiharkan selamat.

"Satu unit portable flare atau alat pembakaran mudah alih telah dipasang oleh pihak Petronas dari kawasan Upstream ke Downstream pada 3.30 pagi tadi dan proses pembakaran telah pun dimulakan. Unit kedua sedang digerakkan dari Kulim dan akan dipasang hari ini juga dari lokasi disyaki berlaku kebocoran ke bahagian injap kawalan.

"Kita jangkakan proses pembakaran termasuk dengan operasi untuk membolehkan nitrogen dimasukkan (nitrogen purging operation) akan mengambil masa 48 jam untuk pembakaran terus berlangsung, seterusnya membolehkan keseluruhan gas yang berbaki dalam paip sepanjang 9.6km dapat dihabiskan dan kerja-kerja pemulihan dapat dijalankan," katanya selepas merasmikan majlis penutup Program Kolaborasi Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) Bersama JBPM di Hutan Lipur Sekayu, di sini hari ini.

Selain itu, Nor Hisham berkata orang awam tidak perlu risau kerana kebocoran gas tersebut tidak akan menyebabkan letusan yang membahayakan penduduk sekitar.

Menurut beliau, penilaian mendapati kadar peratus kandungan gas butana di udara dalam radius 400 meter dari lokasi kejadian hanya sekitar satu peratus.

"Berdasarkan penilaian kita, keupayaan untuk gas ini terbakar dan meletus sangat minimum. Kalau kita tengok bacaan sebenarnya pada jarak 400 meter itu selamat bekerja. Tetapi peralatan yang digunakan hendaklah bersifat nyahletupan atau nyahkebakaran.

"Namun kita kekalkan jarak selamat pada radius 500 untuk kita beroperasi bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Sebelum ini, Bernama melaporkan polis menutup laluan utama Kerteh-Ranggon kepada semua kenderaan susulan kebocoran paip gas PGB di Tapak ECRL Seksyen 5, pagi semalam.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.