SHAH ALAM, 9 DIS: Statistik kecederaan pekerjaan negara merekodkan 5,290 kes di sektor pembinaan pada 2024, dengan 101 daripadanya merupakan kes maut, menurut Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
JKKP menjelaskan, insiden jatuh dari tempat tinggi terus menjadi punca utama kemalangan di tapak pembinaan, apabila 1,299 kes direkodkan sepanjang tahun berkenaan.
"Trend kemalangan berterusan itu turut diterjemahkan kepada angka tahun ini, apabila sebanyak 115 kecederaan dan 35 kematian direkodkan di tapak pembinaan bagi tempoh sehingga Oktober," jelas JKKP menerusi kenyataan.
Jabatan itu menegaskan, angka tersebut menunjukkan tahap keselamatan di sektor pembinaan masih berada pada paras membimbangkan.
"Statistik JKKP menunjukkan trend kemalangan yang masih tinggi dalam beberapa tahun kebelakangan, termasuk 203 kes kecederaan dan 68 maut pada 2023, serta 195 kecederaan dan 66 maut pada 2024.
"Susulan situasi tersebut, JKKP melaksanakan Operasi Tapak Pembinaan (OTP) 3/2025) bermula 8 Disember lalu hingga esok, sebagai langkah memperkukuh pematuhan keselamatan di tapak projek seluruh negara," tambah kenyataan itu.
Menurut JKKP, operasi yang digerakkan oleh Bahagian Keselamatan Tapak Bina JKKP Malaysia bersama JKKP Selangor itu memberi fokus kepada tapak bina yang mempunyai rekod ketidakpatuhan berulang, selain menilai pelaksanaan tanggungjawab mengikut Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024.
"OTP 3/2025 yang bertemakan ‘Pematuhan Konsisten, Tapak Selamat’ merupakan siri ketiga operasi tahun ini selepas OTP 1 dan OTP 2 yang masing-masing dilaksanakan pada Februari dan Jun.
"Sepanjang dua operasi terdahulu, JKKP telah mengeluarkan 760 Surat Arahan, 376 Notis Pembaikan, 459 Notis Larangan, 85 Sita dan 21 cadangan kertas siasatan terhadap pelbagai pelanggaran perundangan," menurut kenyataan itu lagi.
JKKP turut menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan atau pengurus projek yang gagal mematuhi peruntukan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
"Semua pihak termasuk klien dan kontraktor diingatkan supaya memastikan projek pembinaan dilaksanakan dengan selamat serta menyediakan latihan mencukupi kepada pekerja bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang amalan kerja selamat," kata JKKP.



