ad

Tahun Melawat Selangor 2025: MB yakin capai sasaran lapan juta pelancong

9 Ogos 2025, 9:55 AM
Tahun Melawat Selangor 2025: MB yakin capai sasaran lapan juta pelancong

SEPANG, 9 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari yakin sasaran lapan juta pelancong ke negeri ini dapat dicapai menerusi kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).

Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan pencapaian semasa yang memberangsangkan dengan lebih enam juta pelancong mengunjungi negeri ini sebelum TMS2025 dimulakan, meskipun tanpa sebarang promosi berskala besar.

“Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) bukan sekadar kempen biasa sebaliknya ia adalah pemangkin untuk memacu usaha promosi negeri secara berterusan dan menyeluruh.

“Kita perlu pastikan Selangor terus dikenali bukan sahaja di peringkat tempatan malah antarabangsa dengan menjadikan negeri ini sebagai destinasi yang menawarkan pengalaman pelancongan berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Kebudayaan Orang Asli sempena Sambutan Hari Orang Asli Peringkat Selangor di Kampung Orang Asli Kelinsing, di sini hari ini.

Tambah Amirudin, pelbagai inisiatif dan program telah dirancang bagi memperkenalkan keunikan Selangor sebagai destinasi pelancongan utama termasuk ekopelancongan, warisan budaya, makanan tempatan dan tarikan moden yang mesra keluarga.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata seramai 1.77 juta pengunjung ke Selangor direkodkan sepanjang Januari hingga Mac tahun ini.

Beliau berkata China muncul sebagai negara paling banyak dikunjungi pelancong antarabangsa dengan mencatatkan sejumlah 95,762 orang (19 peratus), diikuti Singapura seramai 61,100 (12 peratus) dan Indonesia 30,172 orang (enam peratus).

Menurut Yee Ling, pihaknya juga giat melaksanakan kempen dan publisiti, program promosi dalam serta luar negara serta penganjuran acara pelancongan dan pembangunan produk dari Ogos hingga Disember bagi mencapai sasaran TMS2025.

Pelajar antarabangsa, Yuto Shimosaka, 17 (kiri hadapan), Elin Moiseew, 19 (tengah) bersama Derek Young, 16 (dua dari kanan) ketika membuat demo anyaman ketika Festival Kebudayaan Orang Asli sempena Sambutan Hari Orang Asli Peringkat Selangor di Kampung Orang Asli Kelinsing pada 9 Ogos 2025. Foto UFAIRAH TARMIDZI / MEDIA SELANGOR

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.