PETALING JAYA, 28 JAN: Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Selangor (SIJGC) dan PKNS Selangor Masters 2026 dijangka bantu menarik sehingga sembilan juta pelancong ke Selangor tahun ini sempena Tahun Melawat Selangor (TMS).
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, kejohanan golf antarabangsa itu bukan sekadar acara sukan, malah ia turut membantu mengukuhkan pelancongan sukan dan memberi impak terus kepada ekosistem pelancongan negeri.
"Acara seperti ini bukan hanya melibatkan aktiviti sukan, tetapi turut merangsang sektor hospitaliti, termasuk hotel, pengangkutan, makanan dan minuman serta pelbagai industri sokongan lain. Impaknya memberi manfaat menyeluruh kepada ekonomi dan sektor pelancongan Selangor.
"Mengikut kehadiran tahun-tahun sebelum ini, kita menjangkakan kehadiran lebih 2,000 penonton golf secara langsung, tidak termasuk liputan dan siaran televisyen yang dijangka memberi kesan limpahan (spillover) selepas kejohanan," ujar beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang media SIJGC dan PKNS Selangor Masters 2026 yang berlangsung di Kelab Golf Seri Selangor, di sini hari ini.
Penganjuran kejohanan berprofil antarabangsa itu katanya, diyakini mampu meningkatkan minat pelancong untuk berkunjung ke Selangor, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri sebagai destinasi sukan dan pelancongan bertaraf global.
"Berdasarkan pengalaman penganjuran sebelum ini, kehadiran pemain antarabangsa turut menarik pelancong asing dari Korea, Jepun, Eropah serta negara jiran, sekali gus memperluas pasaran pelancongan Selangor ke peringkat antarabangsa.
"Pembangunan dan penganjuran kejohanan golf secara konsisten dilihat sebagai strategi berkesan dalam memperkasa sports tourism, selain menyokong pertumbuhan mampan sektor pelancongan negeri," katanya.
PKNS Selangor Masters 2026 yang memasuki edisi ke-13 akan berlangsung pada 11 hingga 14 Februari, melibatkan 144 pemain golf profesional tempatan dan antarabangsa, dengan tawaran hadiah keseluruhan berjumlah AS$175,000.
Sementara itu, SIJGC pula melibatkan 120 pemain muda berusia 12 hingga 19 tahun dari 11 negara, termasuk Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, Bangladesh, Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan Vietnam.


