ad

Rakyat lega SADE bantu dalam suasana ekonomi mencabar

3 Ogos 2025, 11:09 AM
Rakyat lega SADE bantu dalam suasana ekonomi mencabar
Rakyat lega SADE bantu dalam suasana ekonomi mencabar

SHAH ALAM, 3 OGOS: Inisiatif air percuma Kerajaan Negeri menerusi Skim Air Darul Ehsan (SADE) terus memberi kelegaan kepada rakyat Selangor khususnya golongan berpendapatan rendah dalam menghadapi tekanan kos sara hidup yang mencabar.

Bagi Kamarul Ariffin Othman, 70, bantuan itu sangat bermakna dan dinikmatinya sejak hampir sedekad lalu.

Kamarul Ariffin Othman, 70,

“Skim ini sangat membantu, terutamanya kami yang sudah bersara. Dengan naikkan had pendapatan dan bantuan lain kerajaan, memang ringan beban rakyat,” katanya.

Rosmawati Abdullah, 61, pula menyambut baik langkah Kerajaan Negeri melonggarkan syarat kelayakan permohonan kepada isi rumah berpendapatan RM6,000 dan ke bawah bermula September ini.

Rosmawati Abdullah, 61,

“Anak perempuan mohon untuk kami. Alhamdulillah, dalam keadaan sekarang, semua benda mahal. Dah naikkan kadar kepada 20 meter padu berbanding dulu hanya 10 meter padu dan syarat pendapatan pun naik. Kalau bil dalam RM60 sebulan, dapat kurangkan belanja sikit,” kongsinya.

Inisiatif yang memberi subsidi sehingga 20 meter padu air sebulan itu turut dihargai generasi muda seperti Rugayyah Mohamad Nazari Kusmajaya, 38, yang berkata ia memberi manfaat kepada anak yang menyara ibu bapa.

Rugayyah Mohamad Nazari Kusmajaya, 38,

“Kami adik-beradik bantu bayarkan bil air mak. Dengan skim ini, beban jadi ringan. Ramai keluarga dapat manfaat, yang layak patut mohon,” katanya.

Sementara itu Ahirullzaman Mohamed Hasbullah, 42, berkata lebih banyak isi rumah kini layak memohon selepas had pendapatan dinaikkan.

Ahirullzaman Mohamed Hasbullah, 42,

“Kalau layak, saya nak mohon. Boleh kurangkan belanja dan bayar keperluan lain,” katanya.

Mohd Azly Izuddin, 31, menyifatkan inisiatif ini sebagai langkah yang adil dan patut dimanfaatkan semua.

“Tahu air percuma daripada media sosial. Manfaat semua orang boleh nikmati. Sebelum ini RM5,000, sekarang RM6,000. Saya akan mohon, ia sangat membantu rakyat,” ujarnya.

Warga emas, Harith Abdul Majid, 72, menyifatkan langkah itu sebagai bukti keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan asas rakyat.

Harith Abdul Majid, 72

“Kami keluarga besar, kadang bil sampai RM180. Tapi dengan subsidi, alhamdulillah, memang sangat membantu,” katanya.

Kerajaan Selangor mengumumkan had pendapatan isi rumah yang layak menerima SADE daripada RM5,000 naik kepada RM6,000 sebulan bermula September ini.

Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peluasan manfaat RM13 sebulan bagi setiap akaun diikhtiarkan susulan kenaikan tarif air yang diluluskan Putrajaya untuk Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan minggu lalu.

Warga Selangor yang berpendapatan RM6,000 sebulan dan memerlukan bantuan air percuma boleh melayari laman web Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd atau Air Selangor (https://www.airselangor.com/residential/skim-air-darul-ehsan/) untuk maklumat lanjut dan pendaftaran mulai 8 Ogos ini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.