Oleh Ufairah Tarmidzi
SHAH ALAM, 28 JULAI: Program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor 2025 mendapat sambutan menggalakkan apabila 166 permohonan diterima melibatkan penyertaan belia bawah 35 tahun meningkat kepada 84 peratus berbanding 73 peratus tahun lalu.
Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Lau Weng San berkata peningkatan jumlah peserta kali ini mencerminkan minat tinggi golongan belia terhadap proses demokrasi dan pentadbiran negeri.
“Permohonan yang diterima dalam program ADN Muda Selangor tahun ini adalah 166 permohonan dengan 112 dipilih mengikuti pusingan pertama yang dijalankan 14 Jun lalu di Wisma DNS.
“Hari ini, 56 peserta terbaik terdiri daripada mereka yang berumur 18 hingga 24 tahun (28 orang); 25 hingga 30 tahun (20 orang) manakala 31 hingga 35 tahun (8 orang) dipilih untuk mengikuti program dua hari satu malam bermula hari ini,” katanya.
[caption id="attachment_712724" align="aligncenter" width="1164"] Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Lau Weng San berucap pada Program ADN Muda Selangor di Wisma Dewan Negeri Selangor pada 28 Julai 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program ADN Muda Selangor 2025 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Menurut Weng San, dua usul utama bakal dibahaskan esok iaitu isu berkaitan kecerdasan buatan (AI) serta cabaran dalam sistem pendidikan khususnya berkaitan masalah keciciran pelajar.
Tambah beliau, program ADN Muda tahun ini turut mencipta sejarah apabila menerima penyertaan daripada seorang peserta orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang pertama sekali gus membuktikan pendekatan program itu semakin progresif dan inklusif.
Dalam pada itu, peserta juga terlibat dalam sesi eksklusif bersama Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Saifuddin Shafi Muhammad yang memberi pendedahan berkaitan tadbir urus dan dasar awam di peringkat negeri.
Program ADN Muda yang dilaksana sejak 2013 turut menawarkan piala pusingan iaitu Piala Tuan Speaker DNS kepada pembahas terbaik yang akan dipilih pada sidang kemuncak esok.
[caption id="attachment_712723" align="aligncenter" width="1131"] Program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor 2025 di Wisma Dewan Negeri Selangor pada 28 Julai 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_712725" align="aligncenter" width="1332"] Program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor 2025 di Wisma Dewan Negeri Selangor pada 28 Julai 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_712727" align="aligncenter" width="1257"] Nur Heeda Adzleza Noor Azlan (kiri) dan Nabila Izza Noor Asmadi menunjukkan nombor kawasan mereka ketika Program ADN muda Selangor di Wisma Dewan Negeri Selangor pada 28 Julai 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]