ad
EXCO

Lima keluarga disantuni, terima sumbangan alat kesihatan, bantuan asas

30 Mei 2025, 11:14 PM
Lima keluarga disantuni, terima sumbangan alat kesihatan, bantuan asas

SHAH ALAM, 30 MEI: EXCO Kebajikan Masyarakat merangkap Ahli Dewan Negeri Taman Templer menyantuni lima keluarga hari ini sempena pra Karnival Ceria di Selayang Baru yang berlangsung esok.

Anfaal Saari berkata mereka rata-ratanya yang memiliki ahli keluarga menghidap sakit kronik, orang kelainan upaya (OKU) dan golongan berpendapatan rendah (B40).

“Menerusi lawatan ziarah kebajikan ini kita menyantuni dengan menghulurkan bantuan kit kesihatan iaitu alat uji tekanan darah yang disumbang Yayasan Selgate dan kit makanan asas Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Selain itu, kita turut menghulurkan sedikit sumbangan tunai dan diharap ia meringankan beban keluarga tersebut,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Rozita Supian, 58, menghargai kehadiran wakil Kerajaan Selangor yang sudi ke kediamannya dan turut mengucapkan terima kasih terhadap sumbangan diberi.

Berkongsi pengalaman, Rozita berkata kini sudah hampir lima tahun beliau menjaga dan menguruskan suaminya Md Isa Md Noor, 59, akibat sakit buah pinggang dan tekanan darah tinggi.

“Alhamdulillah, ada yang sudi hadir dan hulurkan bantuan. Terima kasih, semoga inisiatif ini diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Sebelum ini suami lagi teruk tidak boleh berdiri lama tetapi sekarang sudah kuat sedikit, kini anak bongsu berusia 17 tahun tinggal bersama selain kami turut menerima bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS),” kata ibu 10 anak itu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.