Oleh Ufairah Tarmidzi
SUBANG JAYA, 7 APRIL: Peralatan permainan untuk kanak-kanak yang menjadi mangsa kebakaran akibat letupan paip gas di Putra Heights, disediakan di pusat pemindahan sementara (PPS).
EXCO kebajikan masyarakat berkata pihaknya mengadakan perbincangan dengan Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Selangor (MTOS) bagi mengenal pasti keperluan tambahan demi keselesaan serta keselamatan golongan tersebut.
“Agensi daripada Kerajaan Negeri seperti Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) diberi tanggungjawab menyediakan kelengkapan peralatan permainan untuk kanak-kanak ini.
“Alhamdulillah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga menyediakan beberapa aktiviti harian seperti mewarna dan membaca buku cerita”, kata Anfaal Saari selepas melawat mangsa di PPS Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Camelia di sini, semalam.
[caption id="attachment_695037" align="alignnone" width="796"]
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim (tengah) diiringi Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melawat mangsa kejadian kebakaran saluran paip gas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 5 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Menurut beliau, selain bantuan pakaian, minuman serta keselesaan, pihaknya turut mengutamakan kebajikan daripada segi emosi dan sosial mangsa yang terlibat.
Dalam perkembangan sama, Anfall berkata JKM membuka satu lagi PPS di Dewan Serbaguna MBSJ Harmoni sebagai tempat pengumpulan sumbangan barangan.
Tambah beliau, pihaknya juga akan mengerahkan Wanita Berdaya Selangor (WBS) untuk membantu memastikan penyusunan barangan bantuan agar lebih teratur dan diagih secara adil kepada mangsa.


