SHAH ALAM, 24 FEB: Pembinaan Jajaran Tanjong Karang-Assam Jawa di Seksyen 7 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) sudah mencapai tahap 77 peratus.
EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail berkata pembinaan jajaran dengan jarak keseluruhan 29.5 kilometer (km) itu antara 18 projek Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) yang kini dalam fasa pelaksanaan.
“Pembinaan bermula dari Persimpangan Assam Jawa sehingga ke Ladang Sungai Terap melibatkan jarak 19.5 kilometer (km) manakala dari Ladang Sungai Terap ke Persimpangan Bertingkat Tanjong Karang sepanjang 10km.
“Jalan Persekutuan (FR5) menghubungkan WCE dalam kawasan daerah Sabak Bernam telah siap sepenuhnya pada suku pertama 2022 dan mula beroperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wakil rakyat Sungai Panjang Razali Saari yang ingin mengetahui status pembangunan terkini projek SABDA dalam Sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Pada masa sama, Rizam memaklumkan pembinaan projek kilang minyak kelapa sawit di bawah SABDA digugurkan kerana tidak mencapai minimum keluasan ladang 10,000 hektar.
“Projek pembinaan pusat penyembelihan ayam Sekendi juga digugurkan kerana lokasi tidak bersesuaian mengikut keputusan mesyuarat EXCO pada 27 Oktober 2023.
“Dua projek baharu yang menggantikan kedua-duanya ialah Sabak Bernam Biosphere Reserve serta Pusat Kajian dan Penyelidikan SABDA,” jelasnya.