Kualiti perbahasan ADN Muda Selangor meningkat, fokus isu rakyat

3 Jul 2026, 1:00 AM
Kualiti perbahasan ADN Muda Selangor meningkat, fokus isu rakyat
Kualiti perbahasan ADN Muda Selangor meningkat, fokus isu rakyat

SHAH ALAM, 3 JULAI: Kualiti perbahasan peserta Program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor 2026 menunjukkan peningkatan ketara apabila mereka lebih menumpukan isu dasar yang memberi kesan langsung kepada rakyat.

Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San berkata simulasi persidangan yang berlangsung turut mencerminkan suasana sebenar apabila berlaku perbezaan pandangan ketika perbahasan, namun ia berjaya dikendalikan secara matang dan terkawal.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Lau Weng San. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Kita dapat juga satu suasana yang agak panas semasa ADUN-ADUN Muda membahaskan usul tentang kesihatan mental.

“Di situ kita lihat ada sedikit perbezaan pendapat, ada sedikit situasi yang agak panas, tetapi akhirnya ia dapat diteruskan tanpa sebarang keadaan yang tidak baik,” katanya pada sidang media di Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini, selepas mempengerusikan sidang simulasi sempena program berkenaan.

Sementara itu, wakil rakyat Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berkata program tersebut bukan sahaja menggalakkan penyertaan belia dalam proses demokrasi, malah memberi ruang kepada mereka untuk menyuarakan pandangan terhadap isu yang memberi kesan kepada generasi muda.

ADUN Bukit Gasing Rajiv Rishyakarandi. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Saya rasa ini satu peluang untuk mereka mengambil bahagian dalam membahaskan dasar-dasar yang mempunyai impak ke atas kehidupan mereka. Kadang-kadang suara orang dewasa tidak sama dengan suara anak muda.

“Platform seperti ini memberi mereka ruang untuk didengar secara lebih jelas, dan saya harap lebih ramai anak muda mengambil bahagian,” katanya selepas menggulung perbahasan usul perumahan sewa khas belia (co-living) serta kesedaran undang-undang dalam kalangan belia.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Izuan Kasim pula kagum dengan kematangan peserta yang berhujah berasaskan fakta dan data, malah lebih tersusun, matang dan meyakinkan sekali gus mencerminkan peningkatan kualiti perbahasan berbanding sebelum ini.

Katanya, program itu juga menjadi ruang penting kepada golongan muda untuk memahami selok-belok proses penggubalan undang-undang di peringkat Dewan Undangan Negeri.

Adun Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Peserta didedahkan secara langsung tentang bagaimana sesuatu dasar dibincangkan, dibahaskan serta diputuskan, sekali gus membantu meningkatkan kefahaman terhadap sistem pentadbiran dan legislatif negeri.

“Saya sendiri merupakan sebahagian peserta ADN Muda sekitar 2016 atau 2017. Jadi saya menyeru anak muda, sekiranya program ini diteruskan pada tahun hadapan, untuk turut serta jika berminat.

“Ia akan memberi peluang kepada mereka melihat sendiri bagaimana sesuatu dasar dibincangkan, didebatkan dan dilaksanakan di peringkat Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Program ADN Muda Selangor itu berlangsung selama dua hari bermula semalam, melibatkan 56 belia yang dipilih daripada 232 permohonan.

Kesemua usul diputuskan menerusi proses pengundian bagi membolehkan peserta membahaskan isu yang dekat dengan kehidupan masyarakat, selain mencadangkan penyelesaian yang berpotensi diketengahkan ke Dewan Negeri Selangor.

Program yang diperkenalkan sejak 2014 itu bertujuan memberi pendedahan kepada belia berusia antara 18 hingga 35 tahun mengenai proses demokrasi, penggubalan dasar serta perjalanan sidang Dewan Negeri Selangor.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.