124 kanak-kanak GISBH kembali bersekolah, 10 pusat jagaan ditutup

17 Nov 2026, 4:04 AM
124 kanak-kanak GISBH kembali bersekolah, 10 pusat jagaan ditutup
124 kanak-kanak GISBH kembali bersekolah, 10 pusat jagaan ditutup

SHAH ALAM, 17 NOV: Seramai 124 kanak-kanak yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) telah didaftarkan untuk mengikuti persekolahan berdasarkan rekod pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha memastikan mereka mendapat akses kepada pendidikan dan dapat meneruskan kehidupan dalam persekitaran masyarakat yang lebih teratur.

“Dari sudut kebajikan pula, sebanyak 64 keluarga kanak-kanak yang memenuhi syarat kelayakan turut diberikan bantuan kebajikan yang bersesuaian, termasuk Bantuan Am, Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Anak Pelihara dan bantuan berkaitan orang kurang upaya (OKU).

“Bagi memastikan kebajikan kanak-kanak ini terus terpelihara, JKM Selangor melaksanakan pemantauan dan penyeliaan secara berterusan melalui lawatan fizikal serta pemantauan dalam talian oleh Pegawai Pelindung Kanak-Kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei mengenai status pemulihan anak-anak GISBH pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anfaal berkata sebanyak 29 premis rumah kebajikan yang dikaitkan dengan GISBH telah diperiksa, dengan 10 premis dikenal pasti beroperasi sebagai pusat jagaan.

Menurutnya, daripada 10 premis itu sebanyak tiga pusat jagaan berdaftar dikenakan perintah penutupan dibawah Seksyen 15(1) Akta Pusat Jagaan 1993, manakala tujuh pusat jagaan yang tidak berdaftar dikenakan tindakan dibawah Seksyen 16A akta sama.

“Sehingga kini, kesemua 10 pusat jagaan yang dikenakan tindakan penguatkuasaan tersebut telah ditutup dan tidak lagi beroperasi,” katanya.

Sebelum ini, polis melancarkan siri serbuan berskala besar menerusi Op Global bermula September 2024 terhadap ratusan premis, rumah amal dan perniagaan berkaitan GISBH di seluruh negara atas pelbagai kesalahan eksploitasi, pengubahan wang haram, dan dakwaan ajaran sesat.

Secara keseluruhan, seramai 662 kanak-kanak dan remaja berjaya diselamatkan pihak berkuasa yang menyasarkan rumah-rumah amal dan premis berkaitan GISBH.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.