ADN Muda Selangor buktikan suara belia mampu bentuk dasar negeri

ADN Muda Selangor buktikan suara belia mampu bentuk dasar negeri
ADN Muda Selangor buktikan suara belia mampu bentuk dasar negeri
ADN Muda Selangor buktikan suara belia mampu bentuk dasar negeri

SHAH ALAM, 21 Julai: Tanggal 2 Julai, Dewan Negeri Selangor (DNS) sekali lagi menjadi pentas perdebatan. Bezanya, kali ini bukan wakil rakyat yang dipilih melalui proses demokrasi memenuhi kerusi persidangan tersebut.

Sebaliknya, seramai 56 anak muda daripada pelbagai kaum mengambil alih tempat mereka. Berusia antara 18 hingga 35 tahun, mereka sebenarnya peserta Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor.

Seramai 39 peserta berusia antara 18 hingga 24 tahun, 25 hingga 30 tahun (12 peserta) dan 31 hingga 35 tahun (lima peserta), sekali gus menepati takrifan belia mengikut Akta Belia Malaysia.

Namun, sekilas pandang, suasana sidang simulasi itu tidak jauh berbeza dengan persidangan sebenar. Merekalah membawa suara anak muda, melontar idea demi memenuhi aspirasi kelompok itu.

ADN Muda bergambar bersama selepas Persidangan ADN Muda Selangor 2026 di Dewan Undangan Negeri pada 2 Julai 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Tepat jam 10 pagi, persidangan membuka tirai. Bacaan doa diikuti aturan urusan mesyuarat yang dibaca setiausaha dewan. Lau Weng San iaitu speaker dewan sebenar, kemudian mengambil tempat.

Kali ini, beliau menggunakan terma Yang Berkhidmat merujuk peserta program dalam salutasi. Lazimnya, terma Yang Berhormat digunakan bagi merujuk wakil rakyat dalam sesi sebenar.

Usul pertama berkaitan perumahan sewa khas belia (co-living) dibentang ADN Muda Kampung Tunku, Muhammad Harith Darwish Nor Mali. Dewan yang awalnya tenang bertukar medan pertukaran idea.

Seorang demi seorang ADN Muda berhujah. Mula-mula kelihatan sedikit kekok, namun keyakinan mereka kian terserlah apabila fakta, statistik dan cadangan dibentang dengan lebih tersusun.

Celahan juga kedengaran persis suasana sidang sebenar. Ada mempertahan pendirian, tidak kurang juga mencabar hujah lawan. Namun, perbahasan berlangsung dalam suasana penuh hormat.

ADN Muda Ahmad Luthfi Mohammad Noor memenangi pembahas di Persidangan ADN Muda Selangor 2026 di Dewan Undangan Negeri pada 2 Julai 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Apatah lagi, sebahagian besar peserta tidak menganggotai mana-mana parti politik. Keadaan ini menjadikan perbahasan lebih neutral dan berasaskan idea tanpa terikat kepada fahaman politik tertentu.

Empat usul menjadi tumpuan, semuanya dekat dengan realiti kehidupan belia. Dua usul dibentang dalam sesi pagi iaitu perumahan sewa khas belia dan kesedaran undang-undang dalam kalangan belia. Dua lagi melibatkan transformasi mobiliti dan keselamatan bandar serta kesihatan mental.

Menjelang petang, sesi perbahasan kian rancak. Isu kesihatan mental paling mencuri perhatian. Ramai 'YB' berkongsi pandangan dan cadangan bagi memperkukuh sokongan kepada golongan muda.

“Kita dapat juga satu suasana yang agak panas semasa ADN Muda membahaskan usul tentang kesihatan mental. Di situ, kita lihat ada sedikit perbezaan pendapat, ada sedikit situasi yang agak panas," kata Weng San.

Peserta program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor di Wisma Dewan Negeri Selangor pada 1 Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Meski hangat, perbahasan isu itu diteruskan tanpa sebarang keadaan tidak diingini. Bahkan, Weng San menyifatkan mutu perbahasan peserta kali ini menunjukkan peningkatan ketara.

Usai perbahasan, peserta mengundi bagi menentukan usul yang menerima sokongan tertinggi. Usul berkaitan transformasi mobiliti dan keselamatan bandar muncul pilihan apabila mendapat 22 undi.

Usul itu dibawa ke sidang DNS sebenar yang dijadual berlangsung pada Ogos. Ia akan dibentang seorang Ahli Dewan Negeri. Justeru bermakna usul yang dibahas ADN Muda tidak berakhir dalam sidang simulasi itu. Buah fikiran mereka dibawa ke pentas legislatif sebenar. Bukan sekadar didengari, malah berpeluang menjadi salah satu dasar negeri.

Sebelum ini juga ada peserta ADN Muda bergelar wakil rakyat selepas menang pilihan raya iaitu ADN Kota Damansara, Izuan Kasim. Malah, beliau turut tertarik dengan kematangan peserta yang berhujah berasaskan fakta dan data yang lebih tersusun, matang dan meyakinkan.

Izuan menyifatkan perkembangan tersebut mencerminkan peningkatan mutu perbahasan berbanding program sebelum ini yang bertujuan memberi pendedahan kepada proses demokrasi, penggubalan dasar dan perjalanan sidang dewan.

“Peserta didedah secara langsung tentang bagaimana sesuatu dasar dibincang, dibahas serta diputuskan sekali gus membantu meningkatkan kefahaman terhadap sistem pentadbiran dan legislatif negeri,” katanya sambil menyeru anak muda supaya menyertai program itu pada masa depan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.