SHAH ALAM, 8 JAN: Selangor menyasar capaian rangkaian 5G di kawasan berpenduduk (COPA) sepenuhnya hujung tahun ini.
EXCO pembudayaan inovasi berkata Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membantu Digital Nasional Berhad (DNB) mempercepatkan kelulusan pemasangan menara bagi meneruskan pelaksanaan 5G.
“97 peratus dicapai hujung tahun lalu dan sasaran 100 peratus hujung tahun ini ditetapkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“DNB akan menjadi penyelia kepada syarikat telco untuk memastikan pemasangan menara dibuat mengikut tempoh ditetapkan,” kata Dr Fahmi Ngah kepada Media Selangor.
[caption id="attachment_660180" align="alignleft" width="349"] EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Fahmi Ngah di Setia Alam City Mall pada 25 OGOS 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI[/caption]
Mengulas lanjut, Dr Fahmi berkongsi antara kekangan dihadapi untuk mencapai sasaran itu adalah bantahan penduduk ketika pemasangan dilakukan disebabkan kepadatan kawasan.
“Selain itu, tempoh kebenaran merancang mengambil masa agak lama kerana PBT melihat kepada perjanjian tahap perkhidmatan (SLA) yang ditetapkan selain ia menjadi hasil negeri.
“Kekurangan dana oleh penyedia perkhidmatan juga antara cabaran lain untuk mencapai sasaran ini,” ujarnya.
Terdahulu, Dr Fahmi memaklumkan Kerajaan Negeri menyasar untuk menyediakan akses Internet rangkaian 5G di seluruh kawasan pada 2025 bagi mencapai matlamat negeri pintar.
Menurutnya, usaha giat dilakukan menerusi kerjasama SKMM bagi mendigitalkan komuniti.