SELANGOR

Selangor terbuka cadangan bina stadium sepak takraw

17 Nov 2024, 2:30 PM
Selangor terbuka cadangan bina stadium sepak takraw
Selangor terbuka cadangan bina stadium sepak takraw

KUALA SELANGOR, 17 NOV: Kerajaan Negeri bersifat terbuka berhubung cadangan membina stadium sepak takraw di Selangor, maklum Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata cadangan itu diserah kepada Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS) untuk diperhalusi dengan terperinci.

“Jika PSS ada perancangan, mereka boleh bincang dengan pihak Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor. Di pihak Kerajaan Negeri tiada masalah dan bersifat terbuka.

“Pasukan Selangor Pistons meraih tempat ketiga pada kejohanan Grand Prix Johor, Emas Anuar Liga Sepaktakraw Malaysia (STL) baru-baru ini sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri dalam sukan ini semula,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Penutupan Kejohanan Antarabangsa Silat Tempur di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kampus Puncak Alam di sini, hari ini.

[caption id="attachment_673664" align="alignnone" width="859"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melakukan simbolik perasmian Majlis Penutup Kejuaraan Silat Tempur Antarabangsa Terbuka Malaysia 2024 di Dewan Berlian UiTM Puncak Alam pada 17 November 2024. Turut serta EXCO Sukan Najwan Halimi (tiga kiri) dan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin (dua kiri). Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]

Sebelum ini, Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengemukakan cadangan satu stadium khas buat sukan sepak takraw dibina terutama di kawasan Lembah Klang.

Menurut Datuk Sumali Reduan, pembangunan stadium sendiri itu untuk penganjuran kejohanan ataupun menjadikan ia sebagai kegunaan akademi atau latihan.