SHAH ALAM, 12 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengadakan operasi membersih serta menyelenggara longkang dan parit di seluruh daerah ini bertujuan mengatasi masalah banjir kilat.
Datuk Bandar Shah Alam Dato' Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata langkah itu diambil kerana banjir kilat yang sering berlaku di kawasan bandar kebiasaannya berpunca daripada longgokan sampah di longkang dan perparitan yang tidak diselenggara.
“Pembersihan dan penyelenggaraan dibuat setiap minggu oleh Jabatan Alam Sekitar dan Sisa Pepejal MBSA.
[caption id="attachment_667706" align="alignleft" width="420"] Datuk Bandar Shah Alam Dato' Mohd Fauzi Mohd Yatim bercakap kepada media selepas majlis Penyerahan Sumbangan Insentif Pemenang Pingat Sempena Kejohanan SUKMA Ke-21 Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 11 Oktober 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]
“Ia dilaksanakan di pusat bandar dan kawasan titik panas seperti Kampung Kubu Gajah, Kampung Melayu Subang, Paya Jaras, Jalan Kebun dan Kota Kemuning,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan insentif kemenangan atlet Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Pusat Konvensyen MBSA di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan MBSA turut menyediakan pelbagai aset dan kelengkapan sebagai persediaan berdepan Monsun Timur Laut.
“Antara aset dan kekuatan logistik dua sampan fiber, tiga bot berkelajuan tinggi, dua bot tambahan, jaket serta topi keledar keselamatan,” ujarnya.