SHAH ALAM, 9 OKT: Orang ramai dijemput menyertai pertandingan memancing Shah Alam 2024 yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM44,400 di Taman Tasik Shah Alam, 27 Oktober ini.
MBSA menerusi Facebook memaklumkan pertandingan dijadual berlangsung 8 pagi hingga 12 tengah hari itu dianjur sempena sambutan ulang tahun bandar raya tersebut yang ke-24.
“Orang ramai di jemput menyertai pertandingan ini kerana hadiah wang tunai yang lumayan disediakan kepada pemenang,” katanya.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu johan pertandingan akan membawa pulang wang tunai RM24,000, tempat kedua (RM6,000), tempat ketiga (RM3,000).
“Selain itu hadiah saguhati bernilai RM200 bagi tempat keempat hingga ke-20 dan saguhati bernilai RM100 bagi tempat ke-21 hingga ke-100,” katanya.
MBSA memaklumkan pertandingan itu mengenakan yuran penyertaan berjumlah RM100 setiap joran dengan 300 peserta terawal akan menerima kerusi ‘camping’ percuma selain menyediakan 10 hadiah cabutan bertuah.
Maklumat lanjut imbas kod QR di poster atau layari laman sesawang www.mbsa.gov.my untuk borang dan syarat penyertaan. Sebarang pertanyaan hubungi Jabatan Landskap, MBSA di talian 03-5510 5133 sambungan 1660/ 1284/1215.


